18
Isn, Nov
0 ARTIKEL BARU

Anwar dijangka pilih Sungai Petani - Penganalisis politik

Semasa
Typography

Wan Syamsul Amly, Astro Awani

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memilih Parlimen Sungai Petani berdasarkan peratusan selain melihat sokongan besar Melayu di kawasan berkenaan.

Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pasti mahu kelebihan itu berbanding beberapa lagi jangkaan kawasan yang dikatakan bakal ditandinginya.

Jelasnya, Sungai Petani merupakan landasan terbaik untuk Anwar membuktikan perubahan kemajuan sekali gus nafas baharu bakal perdana menteri itu untuk menjadi Ahli Parlimen di kawasan luar bandar.

"Kita lihat dari segi populasi etnik di Nibong Tebal adalah 45 peratus pengundi Melayu, di Port Dickson 42 peratus dan di Sungai Petani 59 peratus.

"Kita tahu di kawasan luar bandar, khususnya di kawasan Melayu itu perlu diberi tumpuan, untuk memastikan pembangunan luar bandar lebih rancak, hendak pastikan urbanisasi di kawasan itu lebih baik, lebih moden.

"Ia akan melihat satu Parlimen itu dapat dijadikan satu hab ekonomi dan pendidikan sesuai dengan kedudukan beliau sebagai bakal perdana menteri," katanya ketika dihubungi.

BACA: PRK lagi, Anwar nak kerusi mana?

BACA: Mansor nafi kosongkan kerusi Parlimen Nibong Tebal untuk Anwar

Dr Awang Azman mengulas kemungkinan Parlimen yang bakal dipilih Anwar untuk ditandingi dalam pilihan raya kecil (PRK) yang dijadual diadakan dalam masa terdekat.

Parlimen Sungai Petani kini dipegang Datuk Johari Abdul dengan majoriti 21,569 undi mengalahkan Datuk Shahanim Mohamad Yusoff dari Barisan Nasional (BN), Shahrir Long (Pas) dan Sritharan Pichathu (PRM).

Teka-teki Parlimen mana bakal ditandingi Anwar terjawab hari ini selepas beberapa kawasan dikaitkan akan dipilih bakal perdana menteri itu.

Antara kawasan itu adalah Nibong Tebal, Port Dickson, Sungai Petani, Batu dan Pandan yang kini disandang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Awang Azman sebelum ini memberitahu, populariti Anwar bakal menarik jumlah keluar pengundi dan dijangka jauh berbeza dengan tiga PRK sebelum ini.

Jelasnya, ketokohan dimiliki Ketua Umum PKR itu menjadikan PRK yang baharu ini mempunyai kelainan dan tarikan tersendiri.