04
Sab, Apr
8 ARTIKEL BARU

Bunuh kucing: suspek disambung reman tiga hari

Semasa
Typography

GOMBAK - Perintah reman terhadap dua lelaki yang terlibat kes dera kucing hingga mati di kedai dobi Gombak Ria Selasa lalu, disambung tiga hari.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, sambungan reman itu bermula 18 hingga 20 September ini.

"Permohonan sambungan reman dibenarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Hasliza Razak bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.

"Sebelum ini suspek ditahan dan direman bermula 14 hingga 17 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, seorang lagi suspek masih diburu dan akan mengemaskini maklumat jika terdapat sebarang tangkapan.

Kejadian seekor kucing dimasukkan dalam mesin pengering tular hingga menimbulkan kemarahan netizen.

Jumaat lalu, polis menahan dua suspek berusia 26 dan 40 tahun di lokasi berasingan hasil risikan dan maklumat orang awam.