04
Jum, Dis
0 ARTIKEL BARU

Kerajaan perlu ada disiplin hadir sidang Dewan Rakyat

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Datuk Rashid Hasnon mahu para menteri dan timbalan menteri menjaga disiplin mereka dan menyertai sidang Dewan Rakyat seperti yang diharapkan.

Rashid memahami kesibukan menteri dan timbalan menteri, tetapi mereka sepatutnya merancang jadual dengan lebih teratur agar tanggungjawab mereka di Dewan Rakyat dipenuhi.

“Saya minta menteri hadir sebagaimana diaturkan. Kalau menteri tak dapat hadir, timbalan menteri kena hadir,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

Beliau ditanya pemberita tentang kehadiran menteri dan timbalan yang dikatakan rendah pada sidang kali ini.

Ketiadaan menteri dan timbalan menteri untuk menyambut soalan daripada wakil rakyat pagi tadi ditegur Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong.

Terdahulu, wakil rakyat Pakatan Harapan Ali Biju meminta Kementerian Dalam Negeri menjelaskan status rancangan membina ibu pejabat polis baharu di Saratok, tetapi soalan itu dijawab oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohd Radzi Md Jidin.

Wee berkata soalan yang ditujukan kepada kementerian harus dijawab oleh kementerian berkenaan sama ada secara lisan atau secara bertulis kerana begitu aturan di Parlimen.

Beliau berkata kerajaan tidak sepatutnya menganggap sidang Parlimen seperti “pasar malam”.

“Kita kena tegas. Kita kena beri amaran kepada menteri dan timbalan menteri. Kalau tidak hadir, tidak menghormati Parlimen. Kalau tidak mereka akan sambil lewa,” katanya pada sidang media selepas kejadian.

Semalam, Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata kehadiran rendah adalah normal kerana wakil rakyat, para menteri dan timbalan mereka mempunyai urusan lain yang perlu ditangani.

Katanya, kehadiran 100% juga sukar dicapai apabila perbahasan berlarutan sehingga lewat malam.

“Semua orang faham menteri pun ada urusan di pejabat. Kita bukan macam Parlimen di Australia, semua dalam satu bangunan, kementerian mungkin di sebelah kiri, Parlimen di tengah, mereka boleh datang secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata ketiadaannya pada sidang Dewan Rakyat pagi tadi kerana komitmen lain di kementerian.

“Tadi kebetulan kita ada program rasmi di kementerian, pemberian kewarganegaraan dan lain-lain.

“Kita pun tak sangka ada 4 Ahli Parlimen tak datang dan ini jarang berlaku, tapi kita dah bincang dengan kementerian tadi dan kita ambil maklum dan minta pegawai untuk bersedia dekat sana kalau ada kes kecemasan,” katanya ketika ditemui di ruang legar Parlimen.