19
Rab, Feb
5 ARTIKEL BARU

Najib: Tindakan saya demi kepentingan negara

Semasa
Typography

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata tindakannya yang membawa kepada pertuduhan pecah amanah jenayah terhadapnya hari ini adalah untuk membayar hutang negara.

Tanpa tindakannya itu, beliau berkata, ekonomi negara akan dilanda kesan yang teruk.

"Niat saya jelas, keputusan dibuat atas kepentingan negara, dalam konteks apabila anda menerima sejumlah wang, anda perlu membayarnya semula.

"Jika tidak kita akan default (ingkar dalam pembayaran hutang) dan ia akan membawa kepada keruntuhan pasaran bon. Ia akan menjadi sangat serius.

"Ada kewajipan kontrak tertentu yang perlu kita patuhi. Ia demi kepentingan negara untuk kita tidak memungkiri kewajipan kontrak kita," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas membayar ikat jamin.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Najib berkata empat daripada enam pertuduhan berkaitan penyelesaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), di mana kerajaan perlu membayar tunggakan berjumlah AS$1.2 juta tahun lalu.

Ia untuk hutang berjumlah AS$1 bilion beserta faedah, yang diberikan IPIC kepada Malaysia pada Jun 2015.

"Perjanjian penyelesaian itu turut memasukkan persetujuan IPIC akan memulangkan AS$3.5 bilion kepada kerajaan sebelum 31 Disember 2020," katanya.

Katanya lagi, baki dua pertuduhan adalah berkenaan langkah kerajaan untuk membayar syarikat milik kerajaan China bagi memulakan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan projek paip gas seperti yang digariskan dalam perjanjian.