24
Kha, Sep
0 ARTIKEL BARU

Najib sindir Maszlee isu pendidikan 'hampir percuma'

Semasa
Typography

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyindir Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung kenyataannya tentang isu pendidikan.

Najib merujuk kenyataan Maszlee di parlimen hari ini yang menyifatkan pendidikan di Malaysia "hampir percuma" dan kerajaan akan mengekalkan yuran universiti.

"Apabila ditanya mengenai janji mereka di Dewan Rakyat petang ini, menteri pendidikan menjawab bahawa tiada rancangan untuk pendidikan percuma kerana pendidikan sudah hampir percuma.

"Bukankah itu yang kerajaan BN dahulu melakukan juga?" kata Najib di Facebook.

Jelas Najib, pendidikan rendah dan menengah yang kini percuma adalah kerana kerajaan BN yang mansuhkan semua bentuk bayaran dan yuran bermula tahun 2012.

"Dulu kata kerajaan BN zalim terhadap anak muda. Pendidikan dilaungkan sepatutnya percuma, PTPTN patut dihapuskan.

"Malah turut diumumkan sebagai janji mereka untuk mengatasi inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerajaan BN yang begitu meluas dan terancang.

"Bak kata orang lencun terus, mereka yang sebelum ini berharapan apabila mendengar jawapan rasmi menteri pendidikan HARAPAN hari ini mengenai janji-janji dan hasutan HARAPAN dahulu," katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) berhubung janji kerajaan untuk melaksanakan pendidikan percuma, Maszlee berkata pendidikan peringkat rendah dan menengah kerajaan adalah percuma.

"Pengajian tinggi juga hampir percuma yang mana pelajar hanya perlu membayar 10 peratus daripada kos operasi. Ini bermakna semua pelajar universiti awam menerima subsidi 90 peratus dari kerajaan.

"Kos 10 peratus itu juga ditanggung kerajaan menerusi biasiswa dan secara tidak langsung menerusi PTPTN. Pembayaran balik juga boleh dirunding mengikut kemampuan peminjam,” katanya.

Untuk rekod, dalam Buku Harapan, antara janji yang dinyatakan adalah memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma dan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Setakat ini, HARAPAN belum melaksanakan mana-mana janji berkenaan.

Bagaimanapun, janji untuk meringankan beban peminjam PTPTN melalui penstrukturan semula syarat pembayaran sudah dilaksanakan.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.