25
Rab, Nov
0 ARTIKEL BARU

Dana khas Prihatin bantu nelayan terjejas

Semasa
Typography


KUCHING, 5 April  -- Dana khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) antara RM100,000 hingga RM200,000 untuk setiap Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dapat membantu nelayan yang terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak COVID-19.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sarawak (Penesa) Jam Hajimi berkata ini kerana terdapat nelayan tidak dapat ke laut sekali gus hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga.

“Memang ketika ini nelayan semua sudah dibenarkan untuk turun ke laut dan bebas untuk menangkap hasil laut namun terdapat juga nelayan yang tidak dapat mencari rezeki kerana mempunyai masalah lain seperti kerosakan alatan dan bot.

“Kami juga bersyukur kerana tindakan PNK yang akan membeli hasil laut nelayan dan ia amat membantu kerana kami tidak perlu lagi pening kepala memikirkan di mana hendak menjual hasil tangkapan selepas pulang dari laut,” kata Jam yang juga Pengerusi PNK Muara Tebas kepada Bernama.

Difahamkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah memberi dana sebanyak RM10,000 kepada PNK untuk tujuan pembelian ikan daripada nelayan dan proses pemasaran.

Selain PNK, Penesa Fresh Mart di bawah seliaan LKIM juga turut membeli hasil laut daripada nelayan dan akan menjual secara dalam talian ketika tempoh pelaksanaan PKP.

Menurut Pengurus Penesa Fresh Mart Sufri Ahmad, kedai terbabit mengikut saranan kerajaan untuk melakukan jual beli secara dalam talian.

“Kami di Penesa Fresh Mart akan memuat naik semua gambar jualan di laman Facebook kedai. Semua pelanggan dikehendaki membuat pesanan melalui aplikasi WhatsApp sehari sebelum.

“Keesokan harinya, mereka (pelanggan) boleh terus datang mengambil pesanan mereka dan bayaran boleh dibuat secara dalam talian atau tunai semasa di kedai. Ia sekali gus dapat mengurangkan masa untuk beratur di kedai,” katanya.

-- BERNAMA