17
Sel, Sep
0 ARTIKEL BARU

Laporan Langsung: Himpunan Rakyat Bersatu

Semasa
Typography

Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan hari ini dianjurkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka). Berbeza dengan perhimpunan haram Bersih 4.0 sebelum ini, Himpunan Rakyat Bersatu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Peserta menggunakan baju merah dan perhimpunan telah dihadiri oleh lebih 250,000 peserta daripada 250 badan bukan kerajaan (NGO).

KLXPress mengambil inisiatif untuk melaporkan secara langsung dari lapangan. Krew kami berada di sekitar tempat Himpunan Rakyat Bersatu seawal jam 6 pagi lagi.

Para peserta telah mematuhi segala peraturan yang ada dan melakukan perhimpunan dengan aman

Laporan Langsung (Klik refresh untuk laporan terkini)

5.47 petang:

PM Terharu Dengan Perhimpunan Aman

PADANG MERBOK - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan penghargaan beliau terhadap peserta yang terlibat dalam Himpunan Rakyat Bersatu, ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam ucapan beliau di sini hari ini.

“Saya baru bercakap dengan Perdana Menteri, beliau amat terkejut dan cukup tersentuh dengan perhimpunan ini kerana dilakukan dengan cukup aman.”

Menurut Annuar, jumlah peserta yang hadir adalah lebih 250,000 orang.

“Jangan biarkan kerajaan dan hak kita sebagai orang Melayu dipersoal dan dipermain-mainkan,

“Ini bukan festival biasa, biar suara lebih 250,000 orang rakyat Malaysia didengar oleh dunia, biar mereka tahu yang negara ini ada tuannya (pemimpin dan kerajaannya).” Tegas beliau.

“Ini baru permulaan, dan semangat ini tidak berakhir disini.” Katanya.

5.41 petang: Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata jumlah kehadiran adalah lebih dari 200,000 orang.dan memuji semangat membara para peserta Himpunan Rakyat Bersatu hari ini.

“Kita juga boleh mengumpul rakyat Malaysia sehingga beratus ribu jika kita mahukan,

“DAP perlu sedar yang mereka tidak boleh menggunakan perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan. Mereka mesti menunggu pilihanraya.” Ujar Noh Omar.

Beliau berkata orang Melayu bukan seperti peserta Bersih 4.0 yang tidak tahu bersyukur dan bertindak di luar batasan.

“Tindakan mereka (peserta Bersih 4.0)seperti mahukan undang-undang ISA digubal semula.” Katanya.

4.00 petang: Di Jalan Parlimen, Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat dari Terengganu, Datuk Razali Idris berkata perhimpunan hari ini berjaya dan menganggarkan kehadiran seramai 300,000 orang.

Katanya, kehadiran orang ramai itu akan "mengajar Cina DAP" bahawa tidak perlu memijak gambar Perdana Menteri atau Presiden PAS jika mahu mengadakan perhimpunan.

Tambah beliau masyarakat Cina perlu belajar daripada orang Melayu yang berjaya berkumpul beramai-ramai tanpa merosakkan harta benda awam.

Beliau turut menunjukkan tunturan rakyat supaya ISA dikembalikan.

3.40 petang: Di Padang Merbok, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata DAP adalah sebuah parti yang mewujudkan sentimen perkauman di Malaysia.

"DAP jangan kata tidak perkauman. DAP bapa segala perkauman," tegasnya dalam ucapan di Padang Merbok yang disambut dengan sorakan para peserta.

Malah beliau turut mendakwa PAS kini hancur kerana campur tangan DAP.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada peserta perhimpunan yang hadir

"Tahniah dan syabas kepada yang hadir.

"Saya belum terima apa-apa (laporan) kekacauan dalam perhimpunan ini,"ujar beliau.

3.27 petang: Di Padang Merbok, Pemimpin PESAKA, penganjur perhimpunan itu, Datuk Seri Ali Rustam, berucap di pentas utama.

Beliau memberitahu menganjurkan perhimpunan itu disebabkan kekecewaan banyak pihak dengan penghinaan terhadap Melayu dan agama Islam.

“Mereka hina PM kita, pijak PM kita,” katanya sambil membangkitkan insiden gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan presiden PAS Hadi Awang dipijak dalam perhimpunan BERSIH 4.

Beliau juga menggesa ISA dikembalikan semula.

Lagu terkenal M Nasir, Mentera Semerah Padi dimainkan dalam himpunan itu.

3.18 petang: Para peserta Himpunan Rakyat Bersatu berarak beramai-ramai. Apa yang membanggakan dalam perhimpunan ini berbanding Bersih 4.0, adalah para peserta yang begitu menjaga adab dan tatasusila sepanjang himpunan aman. Tiada peserta yang bertindak biadap dan memijak gambar para pemimpin pembangkang walaupun diperlakukan demikian pada perhimpunan haram Bersih 4.0 yang lepas.

Para peserta juga tidak membawa kanak-kanak bawah umur ke perhimpunan aman ini dan tidak melakukan kekecohan seperti yang sinonim dengan perhimpunan haram Bersih.

 

2:47 petang: Himpunan Rakyat Bersatu sehingga kini berlangsung dengan cukup aman, berjaya dan tertib, tiada peserta yang bertindak biadap memijak-mijak gambar pemimpin dan mencederakan warga emas seperti yang berlaku pada perhimpunan haram Bersih 4.0

Warna merah dilihat membanjir dataran di Padang Merbok. Suara rakyat Malaysia yang sayangkan kerajaan bergema disana memeriahkan lagi himpunan ini.

2.00 petang: Para Peserta mula berkumpul dan bergerak perlahan-lahan menuju ke Padang Merbok dari PWTC. Kelihatan jelas gelombang merah kini bertambah sehingga seramai 150,000 orang membanjiri ibukota. Himpunan Rakyat Bersatu ini jelas menonjolkan suara sebenar rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN)

Namun di dalam keghairahan ini, penganjur dan peserta hendaklah sentiasa mematuhi arahan semasa yang ditetapkan dan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan tidak memasuki kawasan yang dilarang.

1.50 petang: Para peserta Himpunan Rakyat Bersatu menunaikan solat Zohor berjemaah di Masjid Negara. Terlihat jelas disini perbezaan yang ketara antara peserta Himpunan Rakyat Bersatu yang jauh lebih tertib berbanding peserta Bersih 4.0 yang sekadar solat di jalanan sedangkan masjid dibiarkan kosong.

 

1.14 petang: Peserta himpunan meluahkan perasaan mengenai isu media luar dan sesetengah pihak berkepentingan yang gemar menghentam kerajaan tanpa bukti.

12.54 tengahari: Terdapat pihak yang mengatakan ketika berlakunya Himpunan Rakyat Bersatu kedai-kedai telah ditutup dan menyebabkan keuntungan perniagaan terjejas. Ini adalah bukti peniaga-peniaga tetap membuka kedai seperti biasa, tambah menguntungkan dengan kehadiran para peserta menjamu selera bersama keluarga dan rakan

12.40 tengahari: Peserta Himpunan Rakyat Bersatu mula membanjiri ibukota.

Ketua-ketua NGO hendaklah memastikan peserta himpunan sentiasa menjaga disiplin dan dikawal selia oleh mereka.

 

12.30 tengahari: Di jalan Conley, lebih 5000 peserta himpunan membanjiri lokasi sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik yang membangkitkan semangat.

Para peserta diingatkan supaya tidak melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh atau lucah.

 

12.20 tengahari: Wartawan akhbar Cina dihalau pihak berkuasa kerana dipercayai melakukan provokasi

12.15 tengahari: Peserta memenuhi Komuter untuk bersama-sama memeriahkan Himpunan Rakyat Bersatu.

 

12.00 tengahari: Peserta berarak dari PWTC

 

11.56 pagi: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Lokman Noor Adam turut memeriahkan himpunan

11.45 pagi: Lebih 4000 Peserta berkumpul semula di PWTC selepas berarak sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik serta laungan "Hidup Melayu". Kelihatan pelbagai sepanduk dan kain rentang membangkitkan semangat 1Malaysia yang jelas menentang segala bentuk campur tangan asing dalam hal ehwal negara.

Para peserta diingatkan supaya menjaga kesihatan diri dalam situasi negara yang dilanda jerebu. Mereka juga diingatkan supaya menjaga kebersihan alam sekitar dan harta benda awam.

11.00 pagi: Di Masjid Wilayah, Kelihatan penyokong baju merah telah berkumpul di masjid wilayah seawal jam 5.00 pagi. Lebih kurang 4000 orang peserta berbaju merah hadir.

Selepas Zohor,para peserta akan bergerak ke PWTC dan dalam jam 2.00 petang, mereka akan berarak dari PWTC ke Padang Merbok

Peserta dilarang mencetuskan pergaduhan, membaling botol kearah kedai dan premis perniagaan dengan niat mencetuskan rusuhan antara kaum.

 

10.00 pagi:  Di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, Dianggarkan sejumlah 1000 orang peserta telah berkumpul di sekitar PWTC dengan memakai baju merah. Mereka telah hadir di PWTC seawal 4.00 pagi. Pihak polis telah bersiap sedia mengawal bagi memastikan himpunan ini berjalan secara aman.

Peserta perhimpunan diingatkan supaya tidak melakukan perbuatan berbaur hasutan serta mengganggu ketenteraman awam.

 

9.30 pagi: Di Padang Merbok, Penyokong Baju Merah majoriti golongan muda telah mula berada di Padang Merbok. Lebih 100 orang sudah mula hadir manaka persiapan sound sistem stage sedang diuji. Peniaga-peniaga merchandise baju, mafla, penutup muka adalah dibenarkan di sepanjang kaki lima di padang Merbok

Peserta diingatkan supaya berhimpun secara aman tanpa membawa apa-apa objek merbahaya atau senjata demi keselamatan awam.