23
Sab, Mac
0 ARTIKEL BARU

Parti Alternatif Rakyat (PAP) Dilancar Hari Ini

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Satu majlis pelancaran parti politik baru, Parti Alternatif Rakyat (People's Alternative Party- PAP) telah diadakan hari ini di ibu negara.

Parti baru tersebut diterajui oleh Bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Zulkifli Noor, disamping beberapa bekas ahli DAP yang lain seperti bekas Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass yang dilantik sebagai Setiausaha Agong parti tersebut.

Penubuhan parti PAP ini adalah bertujuan untuk menjadi salah sebuah parti 'alternatif' yang ada di Malaysia, memandangkan keadaan parti-parti politik sedia ada yang begitu tegang pada masa kini, memetik kata-kata oleh Presiden PAP pada ucapan di majlis pelancaran pagi tadi.

Ujarnya lagi, parti ini mensasarkan penyertaan dari lebih 1.2 juta anak muda, dari lingkungan usia 18-28 tahun dari seluruh negara, dan ianya bertujuan untuk memberi peluang kepada anak-anak muda dari segenap negeri untuk dilatih sebagai pelapis-pelapis baru barisan kepimpinan pada masa hadapan.

Beliau turut memberitahu bahawa sekiranya sasaran itu berjaya dilaksanakan, tidak mustahil barisan kepimpinan yang akan bersidang di Parlimen sedikit masa lagi adalah terdiri daripada golongan-golongan muda seawal usia 38 tahun.

Tambahnya lagi, penubuhan PAP tidak memihak kepada mana-mana parti sedia ada di negara ini. Namun, penubuhan PAP adalah bertujuan untuk menyediakan platform bagi anggota masyarakat yang kian tertekan dengan keadaan politik semasa sekaligus memperjuangkan nasib rakyat di negara ini secara telus.

Ketika ditanya mengenai adakah parti ini merupakan parti yang terdiri dari ahli-ahli DAP yang kecewa dengan parti mereka sebelum ini, Zulkifli Noor dilihat menafikan sekeras-kerasnya dan memberitahu bahawa penubuhan PAP bukanlah berasaskan kekecewaan mereka terhadap mana-mana parti. Akan tetapi, ianya terlahir dari kekecewaan rakyat masa kini yang dilihat semakin terbeban dengan pelbagai masalah.

Namun menurut beliau, PAP tidak berniat untuk mengkritik sesiapa dan sentiasa menyokong tindakan mana-mana parti politik yang dirasakan tepat dan tulus dalam memperjuangkan nasib rakyat, selain menyifatkan kewujudan PAP sebagai satu persaingan yang sihat bagi parti-parti politik sedia ada.