KUALA LUMPUR, 23 Mac -- Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang memasuki hari keenam hari ini, orang ramai bukan sahaja perlu mematuhi nasihat untuk 'duduk di rumah' tetapi juga aspek jarakan sosial terutamanya ketika berada di tempat terbuka seperti pasar awam dan pasar raya bagi mengekang wabak COVID-19.
Berbaki lapan hari lagi tempoh kuarantin yang ditetapkan, rakyat Malaysia perlu lebih serius mendisiplinkan diri serta mematuhi setiap arahan agar membantu kerajaan menghentikan atau memutuskan sama sekali rantaian jangkitan COVID-19 daripada berpanjangan.
Meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kadar pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan itu adalah 90 peratus namun baki 10 peratus itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan jumlah yang besar jika diambil kira 31 juta penduduk di negara ini.
Justeru itu pelbagai usaha telah diambil termasuk menempatkan seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara setiap hari mulai semalam bagi membantu PDRM memantau orang ramai agar mengehadkan pergerakan masing-masing.
Selain itu juga, keadaan trafik dijangka terus terkawal terutamanya di bandar-bandar utama di seluruh negara