WASHINGTON, D.C. - Kerajaan mengisytiharkan Jalur Gemilang dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sebagai tanda berkabung berikutan kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bendera Malaysia itu dikibarkan separuh tiang selama dua hari bermula dari hari pemakaman jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim esok dan Rabu.
"Kerajaan ambil keputusan untuk mengisytiharkan dua hari bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang bermula Selasa (esok) dan Rabu," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Perdana Menteri berada di Washington untuk lawatan kerja tiga hari termasuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump di White House pada 12 Sept.
Sultan Abdul Halim, 89, mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 2.30 petang tadi (waktu Malaysia).
Najib berkata beliau dimaklumkan mengenai kemangkatan Sultan Abdul Halim ketika dalam penerbangan ke Washington.
"Saya menerima berita kemangkatan Almarhum Tuanku dengan penuh rasa sedih dan dukacita, Almarhum Tuanku mempunyai hubungan yang begitu akrab dengan saya lagi mesra ketika Almarhum Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-14," kata beliau.