06
Kha, Mei
0 ARTIKEL BARU

Detik 1957 Dominasi Sambutan Hari Kebangsaan 2017

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR - Umpama menyelak helaian buku sejarah bermula daripada  kemerdekaan 31 Ogos 1957,  sejarah laluan 60 tahun negara yang menakjubkan disajikan secara amat istimewa dan penuh nostalgia pada sambutan Hari Kebangsan 2017 di Dataran Merdeka hari ini.

Disaksikan ribuan hadirin di dataran bersejarah dan rakyat Malaysia melalui siaran secara langsung oleh stesen utama televisyen tempatan, persembahan tahun ini mengembalikan detik bagaimana tanah air dibina hasil kepayahan yang diatasi secara kebersamaan dan perkongsian kuasa oleh anak Malaysia.

Gambaran kegemilangan Malaysia setiap era di bawah teraju enam Perdana  Menteri dikisahkan secara imbasan babak demi babak daripada sebuah negara yang baru  merdeka kini di ambang negara maju.

Bertepatan dengan tema sambutan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’, semangat kesepaduan, kesefahaman dan kekitaan bukan sahaja terserlah pada wajah barisan kepimpinan  negara tetapi juga terpancar pada peserta dan orang ramai yang membanjiri lokasi  seawal 6 pagi.

Acara sambutan bermula dalam cuaca cerah pada 8 pagi dihadiri Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan pemimpin negara daripada pelbagai latar belakang serta ribuan orang ramai.

Pada sambutan ini, Stadium Merdeka – yang menjadi saksi pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957, 'dibina semula' di Dataran Merdeka, sekali gus membolehkan orang ramai dan peserta merasai seolah-olah berada di stadium bersejarah itu. 

Dataran Merdeka juga ‘dibawa kembali’ pada persekitaran 1957 menerusi penonjolan suasana kehidupan pada ketika itu termasuk dari segi rupa, gaya masyarakat berpakaian serta kenderaan.

Detik bersejarah laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Bapa Kemerdekaan turut dilakonkan semula, melibatkan penampilan istimewa Najib yang berpakaian seragam warna kuning khaki.  

Beberapa individu istimewa turut dibawa khas ke Dataran Merdeka antaranya dua pesara Tentera Laut Diraja Malaysia yang ditugaskan menaikkan bendera Malaysia buat pertama kali iaitu Lt Komander (B) Mohd Sharif Kalam dan Pegawai Waran 1 Komander (B) Oliver Culvelt Samuel.

Turut ditampilkan, Rusnah Aksah, gadis sunti berusia 12 tahun ketika diamanahkan melepaskan 101 merpati di Stadium Merdeka pada 16 Sept 1963, sempena pengisytiharan pembentukan Malaysia.

Berbeza pada kali  ini, Rusnah, 66, melepaskan 60 merpati sebagai simbolik  60 tahun negara mengecapi kemerdekaan dan kejayaan bawah pentadbiran kerajaan sekarang.

Turut menjadi jemputan istimewa adalah kalangan waris kepada tokoh pejuang kemerdekaan negara termasuk Tunku Abdul Rahman, Tun V. T. Sambanthan, Tun Juggah anak Barieng dan Tun Datu Mustapha  Datu Harun.

Bagi menghidupkan suasana, Kementerian Komunikasi dan Multimedia selaku penganjur, menyediakan 15 skrin LED gergasi (5 x 3 meter) di sepanjang  Jalan Raja Laut untuk orang ramai mengikuti persembahan di Dataran Merdeka.

Buat pertama kali, rakyat hari ini juga diperkenalkan dengan 'F Team', unit rahsia yang ditubuhkan pada  1971 sebelum dibubar pada Mei 1995, khas untuk menghapuskan ancaman komunis melalui persembahan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Persembahan 10 minit yang penuh emosi dan mendapat  tepukan penghargaan daripada hadirin buat wira tidak didendang, sambil disaksikan 58 anggota asal pasukan berkenaan yang turut berdiri memberi penghormatan dan kelihatan ada antara mereka mengalirkan air mata. 

Antara yang menarik perhatian adalah persembahan laungan perang  dan kawad formasi oleh 1,000   anggota Kementerian Pertahanan.

Untuk acara perbarisan dan perarakan ditampilkan 10 segmen utama daripada komponen kenegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraman awam, keselamatan negara, pertunjukan udara dan segmen rakyat bersepadu.

 

-BERNAMA

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.