06
Kha, Mei
0 ARTIKEL BARU

Orang Ramai Serbu Dataran Merdeka

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR – Dataran Merdeka dipenuhi orang ramai daripada segenap lapisan umur dan kaum seawal jam 6 pagi untuk bersama barisan kepimpinan negara meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Menggunakan kemudahan pengangkutan awam khususnya Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorail dan bas, orang ramai termasuk pelancong berpusu-pusu bergerak ke dataran yang hari ini bertukar wajah menjadi ‘Stadium Merdeka’ bagi menyaksikan sambutan yang diadakan setahun sekali itu.

Riak ceria dan teruja jelas terpancar pada wajah, malahan ramai juga yang bangga mengenakan pakaian bercorak ‘Jalur Gemilang’,  membanjiri persekitaran Dataran Merdeka, terutamanya di Jalan Raja Laut, yang menyediakan teres tempat duduk dan skrin gergasi LED yang memaparkan setiap pergerakan acara persembahan.

Pasukan pancaragam terbesar yang dianggotai 11 agensi keselamatan dan penguat kuasa negara memulakan persembahan menghiburkan para hadirin seawal 7 pagi manakala pasukan pancaragam Victoria Institution mengadakan persembahan poket di hadapan Menara DBKL.

Cuaca cerah dan tenang memudahkan pergerakan orang ramai serta hampir 18,000 peserta yang terlibat dalam acara sambutan Hari Kebangsaan kali ini bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’.