31
Sab, Okt
0 ARTIKEL BARU

Kebakaran Pusat Tahfiz: Tujuh Remaja Ditahan 

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR – Pihak polis telah menahan tujuh remaja bagi membantu siasatan kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat, di sini, kelmarin.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam satu sidang media malam ini.

Menurut Amar Singh, penahanan dibuat hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi menerusi kerjasama penduduk sekitar kawasan kejadian.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan di bawah seksyen 302 dan seksyen 435 iaitu khianat dengan api.

“Siasatan ini dijalankan kerana terdapat unsur-unsur khianat telah berlaku dalam siasatan kes ini.

“Dengan siasatan rapi yang dijalankan dan juga dengan bantuan pihak yang berhampiran tempat kejadian, pihak polis telah berjaya mengecam beberapa orang menerusi pita video.

“Dengan itu pihak polis telah berjaya menangkap keseluruhannya seramai tujuh orang. Lingkungan umur yang ditangkap ialah daripada 11 tahun hingga 18 tahun,” katanya.

Menurutnya lagi, kesemua tangkapan telah dibuat daripada 6 petang hingga ke 2.30 pagi 16 September.

Pihak polis juga ujar beliau telah turut berjaya merampas baju yang dipakai oleh suspek, seluar, topi keledar dan motosikal yang ditunggang.

Selain itu katanya enam daripada tujuh suspek yang ditahan itu positif dadah.

“Kesemua tujuh suspek telah menjalani ujian air kencing dan ujian awal menunjukkan enam darinya positif dadah.

“Ketujuh-tujuh tangkapan telah dibawa ke mahkamah untuk proses reman dan pihak polis telah mendapat reman selama tujuh hari,” katanya.

Motif kepada perbuatan tersebut ujar beliau dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek di antara kedua-dua pihak.

Selain itu, beliau turut menyeru kepada semua pihak supaya berhenti daripada terus memviralkan mesej mengenai kes ini kerana ia akan menjejaskan proses penyiasatan dan proses mahkamah.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi Khamis lalu, 23 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga banglo berkenaan yang menempatkan asrama pelajar.

Sebahagian mangsa ditemui rentung manakala beberapa lagi lemas akibat terhidu asap. Semua mangsa berusia antara enam hingga 16 tahun.

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.