21
Rab, Ogs
0 ARTIKEL BARU

Peguam Negara: Khidmat Gani Patail Di Ganti Oleh Mohamed Apandi

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR - Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu bermula semalam setelah perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan.

Namun, Abdul Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada 6 Okt 2015, menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

"Tan Sri Abdul Gani Patail telah banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara. Saya bagi pihak Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dan berharap beliau sentiasa beroleh kesihatan yang memuaskan," katanya.

Perlantikan Mohamed Apandi dibuat mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.  

Mohamed Apandi berkelulusan LLB(Hons) Universiti of London dan Bar-At-Law, Inner Temple London serta telah mengikuti pengajian di Institute of Advanced Legal Studies, London.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Timbalan Pendakwa Raya bagi Kelantan dan Terengganu, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia dan Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia.