19
Rab, Jun
0 ARTIKEL BARU

Sepihan Pesawat MH370 Dijumpai di Pulau Reunion?

Nasional
Typography

MEMETIK  laporan dari Telegraph.co.uk, seorang pakar penerbangan Perancis percaya serpihan itu dari pesawat MH370. Xavier Tytelman, seorang bekas juruterbang yang kini bekerja sebagai pakar keselamatan udara, dihubungi oleh seorang penduduk pulau Reunion. Lelaki berkenaan menghantar gambar serpihan yang dijumpai dan Tytelman berkata ia mungkin dari pesawat yang hilang itu.

"Saya sudah mengkaji beratus-ratus gambar dan berbincang dengan rakan sekerja".

"Dan kami yakin ia menyerupai bahagian sayap Boeing 777 - pesawat yang sama dengan MH370", kata Tytelman kepada Telegraph.co.uk

"Polis di Reunion yang memeriksa serpihan itu berkata ia kelihatan sudah berada di dalam air lebih kurang setahun, menambah lagi kenyakinan ia dari MH370. Kami tak boleh pastikannya, tapi kami fikir ada peluang (ia dari pesawat MH370)".

MH370 hilang bersama 239 anak kapal dan masih menjadi misteri kepada penyiasat dan juga keluarga mangsa sehingga kini. Pelbagai teori wujud berikutan kehilangannnya yang misteri, termasuklah dakwaan pesawat tersebut telah mendarat di Diego Garcia, atau terbang ke Korea Utara.

Mengikut Xavier, Lautan Hindi merupakan kawasan yang berkemungkinan besar untuk laluan pesawat terbabit. Masih belum dapat dipastikan lagi, namun Xavier percaya dan tidak menolak kemungkinan bahawa serpihan tersebut adalah milik MH370.

Apa yang menjadi persoalan hangat di kalangan mereka yang melihat foto-foto berkenaan adalah kod yang ada pada serpihan sayap tersebut, iaitu BB670. Mengikut Xavier, nombor berkenaan tidak merujuk kepada nombor plat pesawat, atau nombor siri jentera.

Jika benar serpihan tersebut milik MH370, maka kod tersebut pastinya dapat membantu dalam proses mengenalpasti. Mengikut Xavier, dalam beberapa hari sementara penyiasatan dijalankan, jawapan yang sahih tentang penemuan ini akan diperolehi.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.