19
Rab, Jun
0 ARTIKEL BARU

Lagi Sepihan Pesawat Ditemui Di Pulau Reunion

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai mengesahkan pasukan penyiasat khas Malaysia menemui beberapa lagi serpihan pesawat, termasuk kepingan logam ditemui di Pulau Reunion tetapi ia belum dapat disahkan sama ada milik pesawat Boeing 777.

"Saya hanya boleh mengesahkan penemuan beberapa lagi serpihan kapal terbang, tetapi akan disahkan kelak samada ia milik Boeing 777 atau MH370.

"Serpihan itu akan diserahkan kepada pakar di Perancis untuk proses siasatan dan pengesahan. Jangan buat sebarang spekulasi, tunggu sehingga siasatan selesai baru kita akan buat pengumuman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Serdang pada Isnin.

Tiong Lai menambah berkata antara yang ditemui oleh empat penyiasat yang dihantar ke pulau tersebut termasuklah beberapa serpihan, aluminium dan material pecah yang dikenal pasti daripada pesawat.

"Tapi kita tak tahu (material) kapal terbang apa, kita kena sahkan dulu.

"Bahan yang ditemui akan diserahkan kepada pihak berkuasa Pulau Reunion yang akan diserahkan kepada pusat siasatan di Perancis untuk pengesahan," katanya.

Menurut Tiong Lai, Malaysia mendapat sokongan dan bantuan sepenuhnya daripada pihak berkuasa sekitar wilayah tersebut dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak bahan bukti di pulau tersebut dan kawasan sekitarnya.

Bagaimanapun katanya, penyiasat Malaysia yang tiba di sana minggu lepas hanya akan memberi tumpuan terhadap tugas mencari dan mengumpulkan lebih banyak serpihan di sekitar pantai Pulau Reunion.

Mengenai flaperon yang telah disahkan milik Boeing 777 dan telah dihantar di makmal ketenteraan di Perancis, Tiong Lai sekali lagi meminta orang ramai supaya menunggu keputusan siasatan.

"Siasatan untuk pengesahan terhadap flaperon itu akan dimulakan pada Rabu melibatkan wakil dari beberapa negara dan agensi," katanya.

Beliau berkata sebarang spekulasi tidak seharusnya dibuat kerana ia akan memberi lebih tekanan kepada waris dan ahli keluarga mangsa yang menunggu keputusan serta pengesahan mengenai MH370.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.