19
Rab, Jun
0 ARTIKEL BARU

MH370: Penantian 515 Hari Berakhir

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion di timur Lautan Hindi minggu lalu milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Mengumumkan perkara itu kira-kira jam 2 pagi ini, Najib menyatakan siasatan pakar antarabangsa mengesahkan serpihan terbabit adalah sebahagian pesawat milik MH370 selepas 515 hari kehilangannya. "Penemuan ini menunjukkan terdapatnya bukti fizikal pesawat MH370 terhempas di kawasan terbabit.

"Hari ini selepas 515 hari sejak kehilangan pesawat tersebut, adalah dengan berat hati saya memaklumkan bahawa pakar siasatan antarabangsa mengesahkan serpihan itu sah bahagian daripada MH370.


"Kami mempunyai bukti fizikal bahawa, seperti yang saya umumkan pada Mac 24 tahun lalu, MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

"Bagi pihak Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada negara-negara, organisasi dan individu yang telah mengambil bahagian dalam carian ini," kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Najib turut menyatakan simpati serta menyampaikan doa kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu.

“Beban dan ketidakpastian yang dihadapi oleh keluarga mangsa pada masa ini tidak dapat diucapkan dengan kata-kata.

“Adalah menjadi harapan saya bahawa pengesahan ini, sungguhpun tragik dan menyedihkan, sekurang-kurangnya akan membawa kepastian kepada keluarga 239 orang yang berada di atas pesawat MH370,” ujarnya.

Selain itu, katanya Malaysia komited untuk melakukan apa sahaja dalam mencari kebenaran tentang kejadian ini.

“Dan saya berjanji: Malaysia akan sentiasa mengingati dan menghormati mereka yang hilang bersama pesawat MH370,” kata Najib.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.