11
Rab, Dis
0 ARTIKEL BARU

PM Vietnam Tiba Untuk Lawatan Rasmi ke Malaysia

Nasional
Typography

SEPANG - Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini untuk memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Diiringi oleh isterinya, Tran Thanh Kiem, pesawat Vietnam Airlines yang membawa Nguyen dan delegasinya mendarat pada 11.20 pagi dari Hanoi.

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Menteri Kewangan yang juga Menteri Pengiring, Datuk Chua Tee Yong.

Sebaik pintu pesawat dibuka, Nguyen dan isteri melambai pegawai-pegawai kedutaan Vietnam di Kuala Lumpur, yang menunggu pemimpin mereka di lapangan terbang, sambil memegang sejambak bunga serta bendera kedua-dua negara, Malaysia dan Vietnam.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan rasmi Nguyen ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini merupakan lawatan ketiga beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2006.

Program lawatan Nguyen termasuk sambutan rasmi di Dataran Perdana, mesyuarat empat mata bersama Najib, diikuti mesyuarat delegasi Vietnam hari ini di Putrajaya.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan mengenai peningkatan kemajuan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor serta isu-isu serantau dan global demi kepentingan bersama.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan menganjurkan majlis jamuan rasmi di Kompleks Seri Perdana malam ini.

Pada Sabtu, Dung dijadual mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia diikuti dialog khas bersama syarikat-syarikat besar di Malaysia dan juga Asean serta perjumpaan dengan wakil-wakil komuniti Vietnam di sini.

Vietnam merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia dan keempat terbesar dalam kalangan negara Asean.

Tahun lepas, jumlah nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam adalah sebanyak RM29.6 bilion. 

- Bernama