23
Kha, Jan
4 ARTIKEL BARU

Nasrudin Hentam Balik Guan Eng

Politik
Typography

MEREKA saman saya kemudian, mereka mahu selesaikan kes ini di luar mahkamah. Beberapa kali mereka berunding supaya keluarkan kenyataan mohon maaf dan akan tarik balik saman.

“Realitinya sejak setahun lalu , pihak peguam saya telah menerima beberapa surat tawaran daripada Guan Eng supaya memohon maaf terbuka, sejak itu saya tegaskan bahawa tiada sebab untuk memohon maaf kerana saya tidak memfitnah."

Demikian tegas Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan hari ini yang mempersoalkan tindakan  Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang bertindak menyaman beliau sedangkan bersungguh-sungguh meminta kes fitnah itu diselesaikan di luar mahkamah dengan memohon maaf seolah-olah seperti ingin memperlihatkan pemimpin Pas tersebut mengaku bersalah.

Menurut Nasrudin, saman itu mendakwa beliau telah memfitnah Guan Eng dalam satu artikel bertajuk `Apa beza KIDEX dengan Penang Tunnel?’ yang bertarikh 6 Ogos 2014.

Tegasnya, beliau pernah menimbang situasi itu tetapi membuat keputusan tetap tidak akan memohon maaf kerana masih berpegang kepada prinsip bahawa beliau tidak pernah memfitnah Guan Eng menerusi artikel berkenaan.

“Bukan kerana degil tetapi kerana saya tidak memfitnah Guan Eng dalam artikel saya sebagaimana yang didakwa dalam writ saman yang dikemukakan kepada saya.

“Malah dalam prosiding, saya nyatakan terus terang kepada Yang Arif Hakim bahawa saya tidak akan memohon maaf atas dakwaan fitnah dan berhasrat supaya perbicaraan kes diteruskan,” katanya.

Jelas Nasrudin, akhirnya Guan Eng bersetuju untuk selesaikan kes berkenaan di luar mahkamah tanpa perlu beliau memohon maaf.

“Pada akhirnya, kami bersetuju dengan penyelesaian dan dicatatkan oleh hakim sebagai kes selesai di luar mahkamah dan kos mahkamah sebanyak RM10,000 ditanggung defendan.

“Kalau ada pihak yang masih mempersoalkan dan tidak berpuas hati, maka eloklah mereka mempersoalkan pihak yang menyaman yang mendakwa saya memfitnah bersungguh-sungguh tetapi memohon kes diselesaikan di luar mahkamah.

“Sedangkan saya sedia untuk perbicaraan pada bila-bila masa, ini persoalan yang patut mereka angkat ke langit terbuka, Kalau skripnya mahu mengatakan saya bersalah, selayaknya usah diusahakan sebarang rundingan di luar mahkamah. Teruskan perbicaraan sehingga akhir,” katanya.