12
Isn, Apr
0 ARTIKEL BARU

PKR Masih Tagih Pas, Amanah Ibarat Melukut Tepi Gantang

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pakatan Harapan boleh dianggap sebagai pelengkap gabungan itu sahaja semata-mata.

Ini demikian kerana kesungguhan PKR yang masih mahu memperkukuhkan hubungannya dengan Pas seperti yang disarankan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali.

Menurut Ketua Pemuda Umno Selangor Zainuri Datuk Zakaria, malang bagi Amanah kerana parti itu seperti dipandang sebelah mata oleh PKR yang masih lagi menagih mahu memperkukuhkan hubungan Pakatan Harapan dengan Pas.

Ia sekaligus menunjukkan bahawa PKR sebenarnya tidak ada keyakinan terhadap kemampuan parti serpihan Pas itu untuk meraih populariti dalam kalangan rakyat yang boleh memberi sumbangan terhadap gabungan pakatan pembangkang berkenaan.

Jelas Zainuri, jika PKR benar-benar yakin dengan Amanah, maka tidak timbul soal kemampuan parti itu kerana jelas hubungan antara Pas-Amanah-Dap terlalu sukar untuk dipulihkan dan berada dalam satu landasan sama politik negara.

“Kesungguhan pimpinan PKR untuk terus memujuk Pas menunjukkkan mereka sedar dan tahu bahawa Amanah tidak boleh diharap untuk memberi nilai tambah kepada pakatan harapan khususnya di Selangor hari ini.

“Namun secara dasarnya itulah politik bijak yang dimainkan oleh PKR. Mereka sedar dan tahu kekuatan Pas yang boleh digunakan untuk Pakatan Harapan dan juga untuk kepentingan mereka khususnya di Selangor,“ katanya seperti dipetik UMNO-Online, di sini, hari ini.

Zainuri seterusnya menegaskan Azmin selaku Timbalan Presiden yang juga Menteri Besar Selangor sebenarnya berada di dalam keadaan tertekan gara-gara untuk menjaga hati Dap dan pada masa yang sama untuk mengelakkan Pas lari meninggalkan parti terbabit khususnya di Selangor.

“Azmin dalam keadaan tertekan sekarang ni..mana nak jaga hati Dap dan mana nak kepung Pas daripada lari. Namun itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh Azmin dan itulah yang beliau perlu telan. Harus berpijak di bumi yang nyata.

“Apa pun kita percaya selagi Pas tidak dibawa bersama dalam arus Pakatan Harapan, selagi itulah PKR akan terus berusaha kerana tidak yakin dengan kemampuan rakan sekutu di dalam gabungan berkenaan,“ katanya.

Azmin sebelum ini dilapor mahukan Pakatan Harapan terus memperkukuh hubungan dengan Pas untuk meneruskan ‘agenda reformasi’ mereka.