26
Rab, Jun
0 ARTIKEL BARU

Saya Menang 5 Kali Pilihan Raya Bukan Kerana BN Buat Kerja, Kata Tun M

Politik
Typography

SHAH ALAM - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada setiap kali pilihan raya umum bukan berpunca daripada kerja keras parti tersebut sebaliknya faktor perpecahan dalaman gabungan parti pembangkang.

Demikian kata bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di konvensyen Pakatan Harapan hari ini.

“Saya daripada BN saya menang lima kali pilihan raya bukan kerana BN buat kerja tetapi kerana parti lawan berpecah dan itu kelemahan parti lawan,” katanya.

Sehubungan itu ujarnya, Pakatan Harapan perlu bersatu-padu menggunakan pendekatan BN iaitu bertanding dengan satu calon dan satu logo demi memastikan parti itu dapat dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke -14 ( PRU14) akan datang.

“Hanya kita sahaja yang boleh menghalang Najib dan kejayaan kita bergantung kepada perpaduan di kalangan parti-parti lawan.

“Kita berdaftar seolah-olah satu jiwa kita perlu letak satu calon, satu logo tidak kira dari Parti Amanah Negara (Amanah), dia adalah calon kita dan kita semua akan sokong dengan itu kita akan dapat kemenangan.

“Kalau kita guna satu simbol, macam BN juga letak satu calon dengan satu simbol,” ujarnya.

Selain itu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM) menambah, rakyat juga perlu diberi kesedaran agar tidak menyokong Najib hanya kerana diberikan bantuan wang secara konsisten.

“Kita semua mesti bekerja kuat meyakinkan rakyat menolak sogokan supaya mereka menyokong usaha menjatuhkan Najib inilah hasrat kita.

“Kita kena jelaskan kepada rakyat duit yang terima dari Najib itu haram, mencuri duit untuk sogok itu dua kali haram,” kata beliau lagi.