16
Ahd, Jun
0 ARTIKEL BARU

Banjir P.Pinang : Janji ‘Manis’ Kerajaan DAP Dipersoal

Politik
Typography

KUALA LUMPUR Gara-gara terlalu kerap menaburkan janji-janji palsu, kerajaan DAP Pulau Pinang terus dipertikaikan berhubung kaedah penyelesaian masalah banjir kilat yang semakin kerap berlaku di negeri tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, dalam isu ini, Kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilihat berdolak-dalik sedangkan setiap kali banjir kilat berlaku, ribuan penduduk negeri ini terjejas.

“Mereka mampu mencari modal yang sangat besar iaitu mencecah RM27 bilion bagi melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Negeri selepas mahu menambak laut namun keberatan membelanjakan RM350 juta untuk projek tebatan banjir dan berterusan menyalahkan pihak lain,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) negeri di Pulau Pinang, semalam.

Jelasnya, kerajaan negeri memberi alasan peruntukan berjumlah RM350 juta untuk projek tebatan banjir masih belum diluluskan Kerajaan Persekutuan namun hakikatnya mereka mempunyai kemampuan kewangan bagi melaksanakannya.

Yang turut hadir, Presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, sekiranya Kerajaan DAP Pulau Pinang serius untuk mengatasi masalah banjir kilat, mereka boleh mengeluarkan perbelanjaan terlebih dahulu bagi melaksanakan rancangan tebatan banjir.

“Jika kerajaan negeri ambil RM1 bilion daripada keseluruhan RM27 bilion, pelbagai masalah dapat diselesaikan, bukan sahaja banjir kilat malahan dapat mengatasi masalah kesesakan lalu-lintas yang semakin serius di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu Zainal Abidin mengakui Barisan Nasional (BN) dan UMNO menghargai kesetiaan yang dilaungkan Kimma dan menyeru ahli parti tersebut serta seluruh rakyat negeri ini menilai prestasi DAP selepas lapan tahun mentadbir negeri ini yang sarat dengan kegagalan.

Menurutnya, negeri ini pada mulanya merupakan impian setiap penduduk namun selepas peralihan kuasa pada 2008, DAP hanya menaburkan janji-janji kosong yang tidak memanfaatkan rakyat.

“Ia hanya janji yang tidak menjadi kenyataan dan pelbagai isu timbul yang mengundang kerisauan rakyat. Pada masa sama, mereka ini cakap tidak serupa bikin terutamanya melibatkan isu integriti,” jelasnya.