22
Isn, Jul
0 ARTIKEL BARU

AS Gesa Tamatkan Krisis Rohingya

Dunia
Typography

NEW YORK/COX'S BAZAR - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan tegas dan segera bagi menamatkan keganasan ke atas Muslim Rohingya di Myanmar.

Naib Presiden AS, Mike Pence, menyampaikan pendirian Trump itu dalam satu mesyuarat Majlis Keselamatan dan mengisytiharkan krisis itu sebagai satu ancaman kepada dunia.

Beliau mengulangi gesaan AS supaya tentera Myanmar menamatkan keganasan dan menyokong usaha diplomatik untuk penyelesaian jangka panjang buat Rohingya.

"Presiden Trump dan saya juga menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan tegas dan segera untuk menamatkan krisis ini serta memberi harapan dan membantu penduduk Rohingya," katanya kepada 15 anggota majlis.

Diplomat berkata, Majlis Keselamatan mungkin mempertimbang mengguna pakai kenyataan rasmi jika situasi itu tidak berubah.

Sebanyak 15 anggota majlis itu mengadakan pertemuan tertutup sebanyak dua kali sejak krisis bermula 25 Ogos lalu.

Minggu lalu, Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan kenyataan tidak rasmi kepada media, mengutuk situasi itu sambil menggesa pihak berkuasa Myanmar menamatkan keganasan.

"Keganasan ini mencetuskan benih kebencian dan huru-hara, yang akan menguasai rantau itu selama bergenerasi serta mengancam keamanan semua kita," kata Pence.