07
Sel, Jul
0 ARTIKEL BARU

Muhyiddin selesai angkat sumpah PM8

Bahasa Melayu
Typography

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, sebentar tadi.

Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak 22 Februari lalu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, selesai menzahirkan istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kelapan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara.

Majlis di Singgahsana Kecil Istana Negara itu turut menyaksikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu melahirkan setia dan sumpah simpan rahsia di hadapan Agong.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan isteri Muhyiddin iaitu Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pada 24 Februari lalu Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh kepada Al-Sultan Abdullah.

Hari yang sama Baginda menerima peletakan jawatan itu serta berkenan untuk melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim.

Pelantikan itu sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai Perdana Menteri interim ketika itu, Dr Mahathir menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik dan kabinet dibentuk.

Hampir seminggu sejak peletakan jawatan negarawan itu, polemik politik berlaku antara blok parti dengan pelbagai kejutan lain disaksikan rakyat.

Peristiwa bersejarah hari ini sekali gus memuktamadkan polemik berkenaan seterusnya mendaulatkan sistem pentadbiran Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan.