25
Ahd, Okt
0 ARTIKEL BARU

Penjara Pudu Dalam Kenangan

Bahasa Melayu
Typography

Penjara Pudu di Kuala Lumpur dibina semasa zaman penjajahan British pada 1891 untuk menempatkan seramai  600 orang banduan. Blok-blok baru kemudian ditambah sehingga enam buah dan mengandungi 130 buah sel dengan kapasiti dapat menampung sebanyak 2,000 orang banduan.

Walaubagaimanapun, pada 1985, lebih daripada 6,500 banduan dipenjarakan dan menyebabkan banduan terpaksa tidur bergilir-gilir. Keadaan kekurangan ruang yang amat pesat itu telah memaksa Penjara Pudu untuk berpindah. Pada tahun 1996, Penjara Pudu ditutup manakala banduan dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh.

Dalam tempoh lebih seabad, ramai banduan yang dihukum mati di Penjara Pudu termasuk penjenayah-penjenayah terkenal dalam lipatan sejarah negara. Dari 1960 hingga 1993 sahaja, seramai 180 pesalah menjalani hukuman gantung sampai mati.

Penjara Pudu dibuka kepada orang awam untuk lawatan pada 3 Mei 1997, lebih daripada enam bulan selepas banduan terakhir dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh. Lebih daripada RM1.7 juta dibelanja bagi mengubah-suai penjara ini untuk dijadikan tarikan pelancong. RM12 dikenakan bagi setiap pelancong yang melawat ke penjara ini. Penjara Pudu ketika itu telah diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Beberapa peristiwa telah terlakar ketika Penjara Pudu masih berdiri teguh, antaranya adalah kejadian pada 16 Oktober 1986. Doktor Radzi bin Jaffar  dan seorang lagi pegawai perubatan dari Hospital Besar Kuala Lumpur telah ditahan oleh sekumpulan banduan yang diketuai oleh Jimmy Chua, dan sekaligus menjadikan dua pegawai perubatan tersebut sebagai tebusan. Bagaimanapun, kejadian yang menggemparkan negara itu akhirnya dapat diselesaikan pada jam 5.40 pagi, 22hb Oktober 1986, apabila Unit Tindakan Khas (UTK) yang diketuai oleh Datuk Zaman Khan menyerbu dan menyelamatkan tebusan tanpa pertumpahan darah.

Lukisan di tembok penjara pudu pernah diiktiraf sebagai Mural Terpanjang Di Dunia iaitu sepanjang 384 meter. Penjara Pudu kini tinggal kenangan apabila penjara berusia lebih 100 tahun di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur itu dirobohkan pada 21 Jun 2010. Namun, pintu gerbang Penjara pudu dan dua lukisan mural di kiri dan kanan tembok tidak akan dirobohkan sebagai simbolik kepada tapak Penjara Pudu walaupun pembangunan moden akan didirikan disitu.

 

Potret Misteri

Seorang bekas penghuni Penjara Pudu menceritakan kisah seram yang didengarinya di penjara itu mengenai potret misteri. Dia yang di tahan selama 2 hari kerana terlibat dengan demonstrasi jalanan masih sempat merasai suasana seram di penjara itu.

"Ia berkait dengan seorang banduan akhir, iaitu banduan yang akan dihukum mati.

"Dia banduan yang pandai melukis. Dia melukis potretnya sendiri di dalam selnya sebelum dia dihukum gantung. Warden memberitahu, lampu di bilik sel itu terpadam dan akan sentiasa gelap. Akan tetapi, potret yang dilukisnya bercahaya seolah-olah ia hidup.

"Banyak orang mengadu melihat bayang-bayang berkeliaran. Lebih menyeramkan, bilik sel itu berdepan dengan sel saya," katanya yang mendakwa banduan akhir itu ialah seorang wanita.

Ada juga yang mendakwa bahawa potret wanita itu juga akan 'menangis' apabila hari penggantungan seseorang itu semakin hampir.

"Apabila warden ingin membawa kami melihat sel itu, empat orang rakan saya pergi tengok, saya sahaja tidak mahu tengok. Seram.

"Kawan-kawan saya beritahu memang betul apa yang diceritakan warden. Dalam gelap, lukisan itu berkilauan dan menyeramkan. Mereka juga beritahu yang lampu di sel tersebut memang tak boleh dihidupkan walaupun dah beberapa kali cubaan. Automatik, ia terus terpadam," ujarnya lagi..

 

Bermalam

Sementara itu, pensyarah fotografi, Khairul Azril Ismail yang pernah bermalam selama enam bulan di Penjara Pudu untuk menghasilkan tesis bertajuk Pudu Jail's Graffity menceritakan pengalaman aneh yang dilaluinya.

Kata Azril, antara bahagian penjara itu yang paling menarik ialah bilik gantung kerana ia menawarkan banyak 'cerita'.

"Bilik itu kosong, kecil sahaja. Saya melihat imej aneh yang sukar untuk dijelaskan. Saya dapat merakamkan satu garisan putih yang panjang dan melengkung. Bagi saya mustahil cahaya dapat dibengkokkan. Nak kata asap, saya tahu sangat rupa kepulannya kerana saya seorang perokok.

"Saya bukan jenis yang suka dengan perkara-perkara mistik. Saya lebih suka dengan fakta dan akademik. Saya kemudian menghantar gambar itu untuk diteliti oleh pensyarah saya di Columbus College of Art & Design (CCAD) di Ohio, Amerika Syarikat.

"Mereka meminta saya untuk memeriksa peralatan, tapi saya tak jumpa sebarang masalah pun pada kamera mahupun ketika proses mencuci gambar.".

Tambah Azril lagi, gangguan atau bunyi-bunyian asing bukanlah sesuatu yang pelik ketika berada di Penjara Pudu, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

"Keadaan lazimnya gelap. Saya pula mahu rakam gambar tanpa bantuan cahaya tambahan seperti flash kamera, dan hanya menggunakan cahaya semula jadi. Jadi saya kena menunggu lama untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Boleh makan masa satu hingga dua jam setengah.

"Dalam masa menunggu itu, saya rasa kepala saya diketuk sebanyak tiga kali. Seperti ada tangan yang mengetuk kepala saya.

"Kalau setakat bayang-bayang tu memang biasa sangat. Dah jadi normal bagi saya. Begitu juga dengan suara orang menjerit/ melolong.

"Tapi saya tak dapat dengar dengan jelas apa yang dijeritkan sebab bergema," ujar pensyarah di Jabatan Fotografi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu.

Selain itu, Azril turut mendengar bunyi-bunyi lain seperti paluan beduk dua kali, dan pernah dirasakan kakinya bagai dipeluk sesuatu ketika hendak memasuki bilik mayat.

Walaupun melalui banyak pengalaman menakutkan ketika di penjara itu, Azril tetap berasa sedih apabila mendapat tahu Penjara Pudu bakal dirobohkan bagi tujuan pembinaan projek komersil 'Bukit Bintang City Centre' (BBCC) di atas tapak tersebut.

"Ia satu seni bina ikon yang sungguh menarik dengan bentuk X. Saya mendapati ia mempunyai ciri persamaan dengan seni bina lama dari Perancis. Tapi masih banyak kajian perlu dilakukan untuk memastikan kesahihannya," ujar Azril.

"Namun, sisi eksentrik penjara berusia 115 tahun ini akan terus dikenang," tambah Aaril lagi.

 

Ragut Nyawa

Setakat tempoh 36 tahun ( 1960-1996), ia telah meragut seramai 180 nyawa manusia yang melakukan pelbagai kesalahan jenayah berat. Ini belum dikira dari semenjak Penjara Pudu pada tahun 1895, di mana beribu-ribu dipercayai mati di tali gantung kerana melakukan pelbagai kesalahan berat seperti membunuh, menculik dan mengedar dadah.

Sekitar zaman Jepun pula, dipercayai ramai tahanan-tahanan perang yang dijatuhkan hukuman di sini termasuklah orang-orang Cina yang menjadi tahanan perang.

Sementara itu 2 rakyat Australia, Brain Geoffrey Chamber, 28 tahun dan Kevin Barlow, 27 tahun, menjadi rakyat asing pertama dihukum gantung di penjara ini, iaitu pada Subuh 7 Julai 1986 kerana mengedar dadah di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pulau Pinang dalam tahun 1983.

Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin merupakan pejenayah yang paling popular, dan menjalani hukum gantung di Penjara Pudu atas kesalahan senjata api. Kes perbicaraan Botak Chin menarik perhatian ramai. Dia yang digelar sebagai 'Robin Hood Malaysia' sering melakukan rompakan-rompakan nilai besar yang melibatkan beberapa bank, premis dan orang-orang kaya. Namun, hasil dari rompakan tersebut sebahagian besarnya diagihkan kepada orang-orang miskin dan kurang berkemampuan.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.