23
Jum, Okt
0 ARTIKEL BARU

Tinggalan Kapal-kapal Purba di Temui di Sungai Batu

Bahasa Melayu
Typography

ALOR SETAR - Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid memberitahu, beberapa tinggalan kapal purba di sungai kuno yang dipercayai pernah wujud ribuan tahun lalu di kawasan bersejarah 'Kedah Tua' di Tapak Arkeologi Sungai Batu ditemui oleh para pengkaji.

"Ada di dalam sungai kuno itu lima atau tujuh kapal atau tongkang lama. Tiang layar (kapal-kapal purba) itu pun sudah nampak. Kapal-kapal atau tongkang purba itu adalah 40 hingga 50 kaki panjangnya.

"Selama ini pengkaji-pengkaji mencari di kawasan bakau di pesisir pantai, tetapi apabila menggunakan teknologi satelit, (pengkaji) mengetahui di mana kedudukan asal sungai kuno itu," katanya dalam temu ramah di pejabatnya.

Menurut Mohd Rawi, tinggalan kapal-kapal puba itu ditemui kira-kira setahun lalu namun tiada sebarang pengumuman dibuat sehingga kini.

Tapak arkeologi tersebut terletak di ladang kelapa sawit berhampiran Sungai Petani dan pelbagai monumen telah ditemukan di tapak tersebut sejak tahun 2009 yang rata-ratanya tinggalan sekitar tahun 1900 (110 Masehi).

Tambahnya lagi, usia monumen tersebut disahkan lebih tua berbanding candi-candi di Borobudur, Indonesia dan Angkor Wat, Kemboja, yang masing-masing dibina sekitar abad ke-9 dan abad ke-12.

Kapal-kapal tersebut pula ditemui tertanam di sebuah kawasan berpaya dan berlumpur di tapak arkeologi tersebut, yang dahulunya merupakan terusan sungai kuno yang dalam dan luas, ribuan tahun dahulu.

"Pengkaji menyelam dan mereka melihat adanya struktur seperti sebuah kapal," katanya dan menambah Tamadun Sungai Batu merupakan penemuan yang amat penting bukan sahaja kepada Kedah, tetapi juga Malaysia keseluruhannya.

Ketika ditanya mengenai usaha kerajaan negeri untuk menaikkan tinggalan kapal-kapal purba yang lain, Mohd Rawi berkata, kos yang diperlukan amat tinggi maka perbincangan lanjut perlu dilakukan dan ianya akan melibatkan semua pihak yang terlibat dalam pengkajian di tapak tersebut seperti Jabatan Warisan, Universiti Sains Malaysia (USM), kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan penemuan struktur-struktur yang dipercayai bangkai kapal-kapal purba itu.

"Kita menemui struktur-struktur itu yang dipercayai kapal purba itu ketika melakukan analisis Geofizik (di tapak arkeologi Sungai Batu). Bagaimanapun kita perlu melakukan lebih banyak analisis dan kajian sebelum dapat mencapai keputusan akhir," katanya.

Apabila ditanya tentang usia struktur kapal-kapal tersebut, beliau menjawab, ia berkemungkinan memiliki usia yang sama seperti Tamadun Sungai Batu itu sendiri.

Sejak kajian di Tapak Arkeologi Sungai Batu dijalankan, pasukan arkeologi USM telah menemui beberapa penemuan penting seperti relau melebur besi, jeti-jeti pelabuhan dan bangunan pentadbiran.

Bagaimanapun, penemuan terpenting adalah monumen bulatan disahkan telah dibina pada tahun 110 Masihi iaitu 1,900 tahun dahulu menggunakan teknik 'Optically Stimulated Luminescence' (OSL), berkemungkinan berfungsi untuk tujuan ibadat bagi penganutnya yang mengamalkan kepercayaan Animisme.