23
Jum, Okt
0 ARTIKEL BARU

Bersih 4.0 Gagal Pengaruhi Masyarakat India- S. Vell Paari

Bahasa Melayu
Typography

“Perhimpunan haram Bersih 4.0 menyaksikan satu titik hitam negara apabila NGO pro-pembangkang bersama dengan DAP cuba mensabotaj sambutan Hari Kebangsaan Negara dengan mengadakan demonstrasi haram di sekitar Dataran Merdeka semata-mata untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri,” kata Dato’ Sri S. Vell Paari, Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam MIC.

Memetik kata-kata S. Vell Paari dalam satu kenyataan akhbar, himpunan haram BERSIH 4 ini menyaksikan penyertaan majoriti mereka yang berpihak kepada DAP. Himpunan itu bagaimanapun langsung tidak menarik minat masyarakat kaum India, dan ternyata terdapat tangan yang bersembunyi di sebalik demonstrasi haram ini. Penglibatan NGO pula hanya sekadar satu barisan yang berfungsi untuk menyembunyikan dalang sebenar.

Sepanjang demonstrasi tersebut, penyokong DAP dilihat telah melakukan pelbagai perbuatan tidak bertamadun dan kurang ajar seperti memijak gambar pemimpin negara dan pemimpin PAS, mengeluarkan bahasa kesat dan turut mendirikan tempat suci secara olok-olok. Tindakan-tindakan ini ternyata telah menyinggung perasaan ramai rakyat Malaysia dan luar negara.

Bagi masyarakat India, mereka berpendapat bahawa MIC sebagai sebuah institusi yang mempunyai rangkaian dan sumber untuk melindungi kepentingan masyarakat akan sentiasa menjaga kesejahteraan mereka. Menyedari hakikat ini, kaum India mengambil tindakan dengan menjauhkan diri dari dari himpunan BERSIH 4 kerana tiada manfaat untuk menghadirinya semata-mata untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang telah dipilih secara demokratik.

Mengulas lanjut, kebenaran yang tidak ramai orang tahu adalah sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009, telah banyak yang Datuk Seri Najib Razak lakukan demi menjaga kesejahteraan masyarakat India. Antaranya ialah merangkumi dana tambahan sebanyak RM100 juta untuk latihan kemahiran, serta RM50 juta  sebagai pinjaman yang dibayar oleh Tekun Nasional bagi perusahaan kecil dan Amanah Ikhtiar Malaysia. 

S. Vell Paari turut menambah mereka di dalam MIC dan masyarakat India keseluruhannya sangat menghargai usaha-usaha yang diambil oleh Perdana Menteri ini.

Oleh itu, MIC akan terus bekerja keras demi memenangi hati dan minda masyarakat kaum India dalam memastikan segala usaha Perdana Menteri tidak menjadi sia-sia.