23
Jum, Okt
0 ARTIKEL BARU

Beruk Jantan Masuk Kelas Agama

Bahasa Melayu
Typography

Kehadiran seekor beruk jantan yang masuk ke dalam surau ketika kelas agama sedang berlangsung di sebuah pondok pengajian di Kampung Bukit Teriak, Jitra telah menggemparkan orang ramai yang berada di situ.

Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku pada jam 9 pagi kelmarin, ketika kira-kira 390 orang sedang mengikuti kelas pengajian agama mingguan di Maahad Dar Muhajirin, Kampung Bukit Teriak dan kini menjadi viral di laman-laman sosial.

Menurut tenaga pengajar pondok tersebut, Ummi Kalsom Ismail, 31, beruk itu yang datang dari arah hutan di belakang pondok tersebut bagaimanapun sekadar berlegar-legar di sekitar pondok sahaja dan langsung tidak mengganggu atau mencederakan mereka yang sedang mengikuti kelas pengajian.

Tambahnya lagi, walaupun beruk itu telah diberikan makanan, haiwan terbabit tidak mengendahkan makanan tersebut sebaliknya duduk memerhatikan setiap daripada mereka yang berada di luar surau.

Beruk itu kemudiannya masuk ke dalam surau dan duduk bersama-sama mereka yang sedang membaca kitab agama, sekaligus mengikuti kelas pengajian yang sedang berlangsung.

Menurut Ummi Kalsom lagi, haiwan berkenaan kemudiannya memanjat badan seorang guru agama yang sedang mengajar, dan perlakuan itu dibiarkan sahaja oleh guru agama tersebut sebelum beruk jantan itu turun dengan sendirinya.

Kejadian ini adalah yang pertama kali berlaku sepanjang pondok itu dibuka sejak 2011, dan pastinya menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana beruk yang bersaiz kanak-kanak berusia lima tahun itu tidak bertindak agresif seperti kebanyakan beruk lain.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang dimaklumkan tentang hal tersebut tiba di tempat kejadian pada jam 10.30 pagi dan telah menangkap haiwan berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku.

Lebih mengejutkan, beruk tersebut langsung tidak bertindak agresif ketika di masukkan ke dalam sangkar yang disediakan oleh pihak JPAM.

Beruk jantan tersebut ditempatkan di JPAM Kota Setar buat sementara waktu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.