23
Jum, Okt
0 ARTIKEL BARU

“Jangan Sampai Ayah ke AS Cari Alvin”- Abdul Rani

Bahasa Melayu
Typography

SHAH ALAM- Abdul Rani Kulup, 60, mendesak Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar untuk menyegerakan ekstradisi blogger kontroversi, Alvin Tan ke Malaysia.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu berkata, hanya dengan cara itu sahaja yang membolehkan polis untuk menangkap blogger terbabit, seterusnya dapat dibicarakan mengikut undang-undang negara.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan kepada Sinar Online, beliau yakin bahawa pihak berwajib boleh menangkap Alvin kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai hubungan baik dengan Interpol Amerika Syarikat.

Abdul Rani turut berseloroh untuk pergi ke AS semata-mata untuk mencari Alvin.

Beliau menambah, pihak MJMM akan membuat satu laporan polis terhadap Alvin pada 8 September 2015, jam 11.30 pagi berkenaan isu menghina kalimah Allah. Laporan tersebut akan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Baru-baru ini, Exco Pemuda Umno bersama NGO Pemikir Muda Malaysia terlebih dahulu telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertujuan meminta kerajaan segera mengekstradisi Alvin Tan ke Malaysia.

Sebelum ini, laporan polis terhadap blogger kontroversi ini telah banyak dibuat, namun hingga kini Alvin Tan masih bebas di Amerika Syarikat.