23
Jum, Okt
0 ARTIKEL BARU

Tragedi Kota Pompeii

Bahasa Melayu
Typography

Sekitar 23 Ogos tahun 79 Masihi (M), Pompeii iaitu salah sebuah kawasan di Itali kelihatan sibuk sama seperti kota purba lain. Para penduduk sibuk ke sana sini, aktiviti jual beli aktif berlangsung di dalam bangunan mahupun gedung besar sehinggalah tiga hari kemudiannya, secara tiba-tiba saja satu kejadian misteri melanda kota berkenaan sehingga menyebabkan bangunan dan penduduknya lenyap bagaikan tidak pernah wujud lagi di muka bumi ini.

Selama hampir 1500 tahun, kota Pompeii yang wujud suatu ketika dulu menjadi antara kota terkemuka dalam Empayar Rom hilang dalam lipatan sejarah. Tiada siapa yang mengetahui kewujudan kota berkenaan sehinggalah tahun 1594, sekumpulan pekerja telah diarahkan menggali terowong di kaki gunung berapi Vesuvius bagi projek membekalkan air kepada sebuah kampung berdekatan.

Kerja mengorek tanah dijalankan dengan giat, tetapi secara tiba-tiba kumpulan pekerja itu terpaksa menghentikan aktiviti berkenaan selepas menemui tinggalan aneh tertanam di dalam tanah. Tinggalan aneh berbentuk artifak itu dikeluarkan satu persatu dan berita penemuannya terus tersebar luas menyebabkan semakin banyak kerja cari gali dilakukan di kawasan tersebut.  Bagaimanapun, pada 1631,  gunung berapi Vesuvius sekali lagi meletus sebanyak tujuh kali sehingga memusnahkan segala yang berada berhampirannya termasuk kawasan penemuan artifak berkenaan.

Tujuh puluh enam tahun kemudian, kerja menggali kembali dijalankan atas usaha Putera d’Elboeuf selepas beliau mendengar kewujudan artifak berharga dan harta karun tertanam di kawasan berkenaan. Kerja menggali membuahkan hasil dan membawa kepada penemuan pelbagai tinggalan artifak yang pernah ‘terkubur’ di bawah tanah di kawasan tersebut. Ketika itulah misteri kehilangan kota Pompeii selama ribuan tahun akhirnya terbongkar. Bagaimanapun, penemuan kota purba itu turut menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan pelbagai pihak terutamanya pengkaji sejarah. Apa yang lebih mengejutkan adalah selain artifak berupa tembikar dan barangan purba, turut dijumpai di kawasan berkenaan adalah puluhan patung batu berbentuk manusia dalam keadaan menggerunkan.

Antara penemuan-penemuan tersebut termasuk sekumpulan jasad manusia yang seolah-olah bertukar menjadi patung batu ketika sedang menjamu selera. Lebih menakutkan adalah kejadian misteri yang melenyapkan kota itu secara tidak langsung turut menyimpan ‘wajah’ sebenar kota Pompeii apabila turut ditemui puluhan jasad manusia yang sedang mengadakan hubungan seks termasuk seks luar tabii, bertukar menjadi batu.

Hakikat di sebalik kesemua penemuan tersebut akhirnya membongkar misteri di sebalik kehilangan Kota Pompeii itu dimana pada zaman tersebut, Kota Pompeii merupakan pusat perzinaan dan syurga bagi kaum homoseksual. Nasib penduduk Pompeii mirip dengan kaum Nabi Luth, dan kehancuran Pompeii sepenuhnya terjadi melalui letusan gunung berapi Vesuvius yang tiba-tiba sahaja meletus dan memuntahkan isinya.  Awan panas dan debu lahar menjalar turun dan menghancurkan Kota Pompeii seluruhnya.  Segala binaan bangunan lenyap, penduduk-penduduk Kota Pompeii menjadi patung dalam kesakitan luar biasa. Bermula saat itu, Kota Pompeii yang dahulunya masyhur terus berselimut debu sehinggalah kewujudannya di bongkar kembali. Malah, jelas kelihatan raut muka penduduk yang menunjukkan ekspresi terkejut dan ketakutan teramat seolah-olah bencana yang terjadi itu datang secara tiba-tiba.

Menurut sejarah, Kota itu didirikan sekitar abad ke-6 Sebelum Masihi (SM) oleh kaum Osci atau Oscan, iaitu suatu kelompok masyarakat di tengah Itali. Pompeii kemudian berkembang pesat dan maju dari segi pembangunan. Akan tetapi, di sebalik kemajuan seni bina dan aspek kesenian yang memukau, kota itu turut dicemari dengan kegiatan pelacuran serta kegiatan-kegiatan lain yang tidak bermoral. Rumah pelacuran dibina dengan jumlah yang banyak, dan tanpa berselindung, simbol alat kelamin turut digantung di pintu-pintu pusat pelacuran berkenaan secara terbuka. Masyarakat Pompeii juga pada ketika itu juga dikatakan mengamalkan kepercayaan ‘Mithra’, yang menyakini bahawa persetubuhan tidak sepatutnya dilakukan secara sembunyi tetapi mesti dilakukan di tempat terbuka.

Sekian lama aktiviti maksiat tanpa batas berlarutan di kota berkenaan, gunung berapi Vesuvius yang sebelum itu ‘sepi’ selama dua juta tahun akhirnya meletuskan lava panas sehingga membanjiri kota itu. Tiada seorang pun daripada penduduk yang terselamat, malah debu tebal bencana itu terus menenggelam serta melenyapkan Kota Pompeii daripada sejarah peradaban dunia sekaligus menukarkan penduduk kota tersebut menjadi patung batu.