23
Jum, Okt
0 ARTIKEL BARU

Anifah Anggap Dakwaan Amnesty Berkenaan Rekod Hak Asasi Manusia Tidak Wajar

Bahasa Melayu
Typography

PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan dakwaan Amnesty International bahawa rekod hak asasi manusia di Malaysia menunjukkan penurunan yang semakin membimbangkan sebagai tidak wajar kerana ia berdasarkan kepada maklumat terpilih dan tidak terbukti.

Malangnya badan antarabangsa itu katanya terlalu pantas dalam menghakimi rekod hak asasi manusia di Malaysia kerana salah faham dengan peristiwa yang berlaku dalam negara baru-baru ini.

Memetik kenyataan beliau, Amnesty International gagal dalam memberi penghargaan sepatutnya kepada usaha-usaha terbaru dan berterusan yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia untuk rakyatnya.

Ia juga turut gagal memperakui kemajuan yang dicapai oleh Malaysia dalam melindungi dan mempertahankan hak kaum wanita, kanak-kanak dan golongan kurang upaya serta memenuhi hak ekonomi sosial dan kebudayaan rakyatnya.

Kenyataan berhubung rekod asasi manusia ini dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Amnesty International, Salil Shetty pada bengkel semasa Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IAAC) ke-16 di sini, Jumaat lalu.

Tambah Anifah, badan antarabangsa berkenaan perlu menunjukkan bahawa kerajaan tetap komited dalam mendukung hak kebebasan bersuara dan hak kebebasan berhimpun seperti yang termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Anifah turut berkata penting untuk mengambil perhatian bahawa mengamalkan hak-hak itu tidak mutlak dan mungkin tertakluk kepada batasan atas alasan tertentu termasuk peraturan awam dan keselamatan negara.

Tambahnya, apa-apa batasan adalah selaras dengan Artikel 29 (2) Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.

Penggunaan Akta Hasutan 1948 menurut Anifah tidak menghalang kesuburan demokrasi dan kekal sebagai langkah pencegahan bagi memastikan dan melindungi rakyat Malaysia dari pergerakan radikal, pelampau dan fanatik selain membendung toleransi agama, memupuk kebencian, pelampau kaum dan agama.

Berkenaan isu pelarian atau pencari suaka pula, walaupun Malaysia tidak mengiktiraf status mereka, negara tetap sentiasa memberi bantuan atas dasar perikemanusiaan serta memberi kerjasama mengikut kes dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNCHR) dan organisasi antarabangsa yang relevan.

Tambahan pula, Malaysia menurut Anifah sentiasa mengambil tindakan serius dalam membanteras masalah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran, serta komited bekerjasama dengan rakan kongsi relevan untuk menangani masalah itu melalui pelbagai mekanisme antarabangsa dan serantau.

Dalam tegas beliau berkata setiap negara yang berdaulat berhak untuk memutuskan apa yang terbaik untuk masyarakatnya.