06
Jum, Dis
0 ARTIKEL BARU

Laporan WSJ : SKMM Akan Ambil Tindakan

Bahasa Melayu
Typography

KUALA LUMPUR – Tindakan bakal dikenakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)  kepada akhbar kewangan antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) jika didapati akhbar tersebut menyiarkan laporan palsu berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lapor The Malaysian Insider, Datuk Seri Salleh Said Keruak selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pihaknya perlu menyiasat perkara itu terlebih dahulu.

SKMM akan meneliti terlebih dahulu perkara ini dan sekiranya maklumat yang disiarkan tidak benar, tindakan akan diambil.

“Sudah tentu saya akan mengarahkan SKMM untuk menyiasat dan mengambil tindakan yang perlu,” katanya seperti yang diungkap oleh portal berita itu.

Mengulas lanjut, Salleh berpendapat bahawa Putrajaya perlu menyiasat ahli Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) sekiranya mereka didapati membocorkan maklumat sulit 1MDB.

Salleh meminta untuk menyiasat terlebih dahulu punca maklumat itu diperolehi, dan sekiranya ia dari PAC maka mereka perlu menyiasat siapa antara ahli PAC yang bertanggungjawab membocorkan maklumat berkenaan.

Salleh mengulas mengenai laporan WSJ yang berkata International Petroleum Investment Co (IPIC) yang mendakwa bayaran berjumlah AS$1.4 bilion (RM6.02 bilion) dari 1MDB kepada syarikat itu hilang.

Sebelum ini IPIC menaja jamin bon AS$3.5 bilion (RM15.14 bilion) yang dikeluarkan 1MDB untuk pembelian loji tenaga pada 2012, dan sebagai ganti IPIC mempunyai pilihan untuk membeli 40 peratus kepentingan dalam loji tenaga itu.

Artikel tersebut telah dinafikan oleh 1MDB dan menegaskan bahawa laporan WSJ tidak menamakan sumber atau mengemukakan bukti kukuh dan sengaja mensensasikan cerita.

Juruaudit 1MDB, Deloitte turut disahkan oleh 1MDB sudah membuat pertanyaan khusus mengenai pembayaran itu sebelum memeterai perjanjian bagi menjalankan audit ke atas akaun syarikat tersebut.

Deloitte juga mempertahankan proses auditnya ke atas 1MDB di depan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Dalam pada itu, 1MDB melahirkan kebimbangannya terhadap maklumat sulit syarikat itu yang kononnya dimiliki oleh WSJ.

Mereka turut terkejut apabila WSJ juga boleh meneliti transkrip prosiding daripada jawatankuasa parlimen yang menyelesaikan isu 1MDB yang sepatutnya hanya diketahui oleh ahli PAC sahaja.

1MDB khuatir sekiranya terdapat ahli-ahli PAC yang membocorkan transkrip tersebut dan sengaja mahu mengganggu siasatan PAC terhadap syarikat berkenaan.