11
Rab, Dis
0 ARTIKEL BARU

TPM Minta Pengamal Media Lebih Komprehensif, Adil

Bahasa Melayu
Typography

KUALA LUMPUR – Pengamal media diingatkan supaya tidak menjadi penyampai mesej yang mengadu domba, memesongkan isu dan menimbulkan kacau bilau selain kering jiwa serta tidak nasionalistik, demikian kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sejak akhir-akhir ini kata  Ahmad Zahid terdapat usaha sesetengah pihak melalui media baharu yang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal, kucar-kacir, dan porak-peranda.

Tambahnya lagi, kebebasan media bukan dari sudut sensasi semata-mata, tetapi perlu diiringi dengan tanggungjawab selain melihat sesuatu isu kebebasan secara komprehensif, adil dengan mengambil kira kepentingan umum.

Kata beliau, “perbicaraan media tentang betul atau salah seseorang” sejak kebelakangan ini semakin meningkat dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana dianggap tidak beretika.

Media bukan arus perdana pula menurut beliau tidak seharusnya menggunakan kebebasan berkarya sehingga meruntuhkan negara.

Gesaan ini kata beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bukan untuk menyekat kebebasan, sebaliknya sebagai ingatan tentang pentingnya mengendalikan organisasi media dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap negara dan kepentingan rakyat.

Beliau yang merasmikan majlis Anugerah Tokoh Wartawan Negara 2014 di sini semalam meminta wartawan untuk sentiasa bertanggungjawab atas segala tulisan serta memperkukuh dan meningkatkan identiti dan jati diri.

Ahmad Zahid meminta media bukan arus perdana untuk mencontohi media arus perdana dalam menjalankan tanggungjawab meskipun terdapat perbezaan.

“Pada hemat saya, mereka yang berada dalam dunia kewartawanan maya ini harus belajar dari etika kewartawanan media perdana.”

“Walaupun berbeza pendapatan, mereka (arus perdana) tetap menulis dan sampaikan dengan menjaga etika kewartawanan dengan baik. Itulah yang harus dijadikan contoh,” kata Ahamad Zahid.

Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid telah menyampaikan Anugerah Tokoh Wartawan Negara kepada bekas Ketua Pengarang Bernama yang juga merupakan bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Rejal Arbee, dan wakil bekas Pengarang Bersekutu The New Straits Times, Allahyarham Zainon Ahmad.

Anugerah tersebut adalah sebagai menghargai sumbangan dua wartawan veteran itu dalam bidang kewartawanan tanah air sejak empat dekad yang lalu.

Ahmad Rejal merupakan antara pengamal media awal yang meneroka konsep media dwibahasa dan antara kakitangan pengasas Bernama.

Antara wartawan veteran yang pernah menerima anugerah berkenaan ialah Tan Sri A. Samad Ismail, Tan Sri Lee Siew Yee, Tan Sri Mazlan Nordin, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk Liew Chen Chuan.

 

Dalam pada itu, Allahyarham Zainon yang menerima anugerah itu secara posthumus dikenali sebagai kolumnis yang sering melontarkan pandangan kritikal salam usaha menyatukan negara.