11
Rab, Dis
0 ARTIKEL BARU

Jerebu : Sarawak Paling Teruk, 9 Kawasan Lain Rekod IPU Tidak Sihat

Bahasa Melayu
Typography

KUALA LUMPUR – Empat lagi kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sehingga jam 3 petang tadi, menjadikan kesemuanya berjumlah Sembilan kawasan di seluruh negara.

Bukit Rambai, Melaka mencatatkan bacaan (108), manakala dua kawasan di Negeri Sembilan iaitu Seremban mencatatkan IPU (115), manakala Nilai (127).

Di kawasan Batu Muda di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula mencatatkan bacaan IPU (105).

Sebelum ini, sebanyak tiga kawasan di Sarawak terlebih dahulu mencatatkan IPU tidak sihat iaitu di Samarahan, Kuching dan Sri Aman. Setakat pukul 3 petang tadi, masing-masing kawasan merekodkan bacaan 183, 167 dan 176.

Memetik laporan dari laman web Jabatan Alam Sekitar, tiga kawasan di Sarawak terbabit mencatatkan peningkatan berbanding pagi tadi iaitu di Samarahan (177), Kuching (165) dan Sri Aman (164).

Dalam masa sama, dua kawasan di Johor iaitu Pasir Gudang (121) dan Larkin Lama (110) masing-masing mencatatkan bacaan IPU pada paras tidak sihat.

Sebanyak 35 lokasi yang lain merekodkan bacaan IPU sederhana.

IPU yang baik adalah antara 0 hingga 50, manakala sederhana 51 hingga 100, tidak sihat 101 hingga 200, 201-300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas sebagai bahaya.

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan di sini memaklumkan ketampakan rendah kurang daripada lima kilometer berikutan jerebu di Selat Melaka dan Reef South adalah bahaya buat kapal yang tidak mempunyai navigasi pelayaran, lapor Bernama.

Keadaan jerebu ini dijangka berterusan sehingga Isnin (14 September) yang juga melibatkan perairan Kedah, Pualu Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sarawak, Labuan dan Sabah.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi turut memaklumkan angina kencang dan laut bergelora di perairan di Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dengan angina kencang Barat Daya berkelajuan 40-50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter akan berterusan mulai Isnin (14 September)  sehingga Khamis (17 September).

 

Keadaan berkenaan sangat berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.