06
Jum, Dis
0 ARTIKEL BARU

Majoriti Senyap Mengalahkan Majoriti Bising

Bahasa Melayu
Typography

Golongan majoriti senyap dilihat bakal menjadi penentu masa depan politik negara menerusi peti undi, dan bukannya golongan minoriti yang dilihat lantang bersuara di media-media sosial.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, terdapat dua golongan politik. Pertama, ribuan peserta yang menyertai perhimpunan jalanan sambil menjerit melaungkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu.

Manakala golongan kedua pula ialah kumpulan yang lebih besar yang tidak mempunyai isu serta tidak sealiran dengan kumpulan minoriti yang lebih banyak membuat bising.

Dalam tulisan terbarunya di blog sskeruak.blogsport.my, pada Sabtu lalu, Salleh menyatakan wujudnya kumpulan yang lebih besar dan senyap yang menyatakan sokongan atau sebaliknya menerusi peti undi.

Secara amnya, beliau ingin menarik perhatian ahli-ahli politik agar tidak takut dengan kumpulan minoriti bising berbanding majoriti senyap.

Majoriti senyap menurut Salleh adalah lebih menakutkan kerana tiada siapa yang tahu pemikiran majoriti ini dan tindakan yang bakal mereka ambil pada hari pengundian.

Salleh yang mengambil Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura sebagai contoh berkata bahawa golongan yang lantang bersuara dan bising melalui internet dan media sosial ini seolah-olah mewakili golongan majoriti, namun keputusan PRU negara terbabit membuktikan bahawa majoriti senyap tidak bersama-sama minoriti bising.

Beliau turut tidak menafikan bahawa kumpulan minoriti bising ini telah menguasai internet dan media sosial di Malaysia.

Menurutnya lagi, majoriti senyap ini enggan mengeluarkan pandangan masing-masing jika tidak bersetuju dengan minoriti bising kerana tidak mahu dicerca dan dihina.

Namun, seperti yang berlaku di Singapura golongan majoriti senyap hilang minat dengan pandangan minoriti bising dalam internet dan media sosial.

Golongan majoriti senyap ini juga katanya hanya mendengar apa yang diutarakan oleh golongan minoriti lantang bersuara. Namun lebih banyak yang mereka perkatakan, lebih ramai yang berpaling tadah.

 

Mengulas lanjut, tindakan yang keterlaluan kadang-kadang boleh menjadi musuh seperti yang terbukti pada pilihan raya Singapura.