30
Isn, Mac
8 ARTIKEL BARU

Peluang Bermalam Di Angkasa Lepas

Bahasa Melayu
Typography

Peminat bidang Astronomi kini berpeluang untuk merasai pengalaman bermalam di angkasa lepas, hasil kreativiti beberapa pemilik hotel yang menggunakan tema tersebut bagi menarik perhatian pelanggan mereka.

Baik dari segi pemilihan perabot, pencahayaan mahupun suasana hotel, semuanya direka khas bagi memastikan ianya bertepatan dengan konsep angkasa lepas yang dipilih, sama seperti yang dilihat di dalam filem-filem sains fiksyen dan pastinya akan membuatkan para pelanggan terpegun.

Hotel Kameha Grand Zurich, Switzerland

Hotel ini menawarkan suite angkasa bermula bulan ini dengan idea untuk membawa tetamu merasai suasana di stesen angkasa.

Suite tersebut menampilkan rekaan khas artis Jerman, Michael Najjar yang menyertai projek perintis angkasawan Galaksi Virgin tajaan bilionaire terkenal, Richard Branson.

Keistimewaan suite ini, ia dilengkapi dengan katil rekaan yang kelihatan seolah-olah terapung, serta lampu yang berinspirasikan enjin roket.

Sarung tangan angkasawan diletak di dinding bagi kemudahan meletakkan telefon bimbit dan kad bilik.

Hotel Moonrise di St Louis di Missouri, Amerika Syarikat

Hotel dengan konsep mesra kanak-kanak ini menerapkan tema angkasa lepas dengan penuh warna-warni.

Namun, hotel ini bersifat lebih santai.

Hotel yang dibuka pada 2009 ini merupakan antara hotel yang pernah memenangi anugerah restoran hotel terbaik dunia.

Hotel Wanderlust, Singapura

Terletak di Little India, Singapura.

Tingkat atas hotel mempunyai sembilan bilik yang mempunyai pelbagai tema, dan salah satunya bertemakan angkasa lepas yang mana diletakkan roket di dindingnya dan juga patung-patung makhluk asing di dalamnya.

Bilik angkasa kedua juga berkonsep yang sama, tetapi mempunyai bilik mandi yang lebih luas.

Hotel Kapsul Angkasa Pengheng di Shenzhen, China

Hotel ini dianggap lebih maju dan istimewa kerana mempunyai robot di hotel mereka.

Berkonsepkan hotel kapsul, namun bermula dari penyambut tetamu, pengawal pintu masuk dan pelayan, semuanya dilakukan oleh robot.

Hotel ini ternyata berbeza kerana mempunyai kombinasi penginapan sederhana dengan sentuhan futuristik.

Hotel Barcelo Sants, Sepanyol

Hotel ini menggunakan tema ang­kasa lepas sepenuhnya, dan keunikannya angkasa lepasnya boleh dirasai bermula di lobi lagi.

Setiap bilik diilhamkan dengan suasana di stesen angkasa lepas dan mempunyai tingkap yang besar.

Hotel ini turut mempunyai sebuah bar yang bertemakan angkasa lepas, yang pastinya akan memberikan pengalaman yang menarik kepada para pengunjungnya.