21
Rab, Okt
0 ARTIKEL BARU

Ampang Park Dalam Kenangan

Bahasa Melayu
Typography

KUALA LUMPUR - Ampang Park yang merupakan pusat beli-belah terawal, mula beroperasi pada Mac 1973 bakal dirobohkan tak lama lagi bagi memberi laluan kepada pembinaan Stesen Mass Rapid Transit Bawah Tanah (MRT) Ampang Park.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Najmuddin Abdullah berkata, stesen terbabit akan berintergrasi secara fizikal dengan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park sedia ada bagi membolehkan penumpang perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bertukar ke perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dan sebaliknya di stesen itu.

Tanah pusat beli-belah Ampang Park akan diambil oleh kerajaan, mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960.

Melalui akta tersebut, bangunan yang berada di atas lot tanah tersebut perlu diroboh bagi tujuan pembinaan stesen tersebut.

“Proses pengambilan tanah dijalankan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan bukan MRT Corp.

“Selepas tanah yang diperlukan dikenalpasti, senarai lot tanah berkenaan akan diwartakan dan disiarkan mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960.”

Tambahnya lagi, senarai tersebut telah diwartakan dan disiarkan pada 2 September lalu, dan penyerahan notis Borang E mengenai pengambilan balik tanah kepada semua pemilik tanah akan dilakukan pihak JKPTG.

Pembinaan MRT laluan SSP merupakan Projek MRT Lembah Klang yang membabitkan laluan sepanjang 52.2 kilometer dari Sungai Buloh ke Putrajaya.

“Kerja pembinaan ini dijangka bermula pada suku kedua tahun depan dan dijangka beroperasi sepenuhnya dalam suku kedua 2022.”

Ketika ditanya mengenai kebarangkalian berlaku bantahan daripada pemilik tanah, Najmuddin berkata, MRT Corp akan mengikut prosedur yang digunakan dalam MRT laluan Sungai Buloh-Kajang, dan pihak mereka akan mengadakan pertemuan dengan pihak terbabit.

“Proses pendengaran rayuan oleh pihak berkenaan dan proses khidmat nasihat akan diadakan selari dengan proses JKPTG.

Ulas Najmuddin lagi, menurut Akta Pengambilan Tanah 1960, semua tanah yang diambil balik oleh kerajaan akan dibayar pampasan dan semua yang terbabit boleh membuat tuntutan.

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.