30
Isn, Mac
8 ARTIKEL BARU

Mayat Bangun Dari Meja Bedah Gemparkan Hospital

Bahasa Melayu
Typography

MUMBAI: Seorang lelaki mengejutkan kakitangan salah sebuah hospital di Mumbai, apabila dia tiba-tiba bangun dari meja bedah siasat sebelum prosedur bedah siasat dilakukan ke atasnya.

Lelaki gelandangan tersebut yang dikenali sebagai Prakash, dikatakan telah meninggal dunia apabila pihak polis menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Prakash kemudiannya dikejarkan ke hospital dan disahkan menghidapi pelbagai jenis jangkitan.

Mayat Prakash yang kemudiannya dipindahkan ke unit autopsi untuk tujuan bedah siasat tiba-tiba didapati bernafas, dan sekaligus menggemparkan seluruh hospital tersebut. Dia kemudiannya dikejarkan ke unit rawatan rapi oleh para petugas hospital.

Kejadian tersebut telah menimbulkan pertelingkahan antara pihak polis dan doktor. Pihak hospital mendakwa berlaku kesalahan laporan berkenaan kematian Prakash oleh pihak polis, manakala pihak polis pula mendakwa bahawa ianya berlaku akibat kesilapan keputusan diagnosis oleh pihak hospital, lewat Selasa lalu.

Ashok Dudhe, Timbalan Pesuruhjaya Polis Mumbai akhirnya tampil membuat keterangan dan menyatakan yang Prakash disahkan telah meninggal dunia.

Doktor kanan Hospital Lokmanya Tilak, Mumbai, yang enggan identitinya didedahkan turut menyokong keterangan tersebut dan berkata, punca kematian Prakash masih belum diketahui dan akan diumumkan sebaik keputusan bedah siasat 'kedua' Prakash diperolehi.

Polis Mumbai kerap berhadapan dengan masalah mayat tidak dituntut, manakala hampir seluruh bilik mayat di hospital-hospital sekitar India telah kehabisan ruang untuk menampung jumlah mayat yang tidak dituntut itu, lapor media tempatan.