08
Rab, Apr
13 ARTIKEL BARU

Hutang Kerajaan Terus Berkurangan - MOF

Ekonomi
Typography

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan bahawa hutang kerajaan akan terus berkurang sehingga 50 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada akhir tahun berikutan sasaran defisit fiskal yang lebih rendah pada 2018.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh MOF menyatakan bahawa  penghujung 2017, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada KDNK, lebih rendah di bawah had 55 peratus ditetapkan.

"Ini menunjukkan hutang dalam negeri kekal sebagai komponen terbesar meliputi 96.9 peratus, menghadkan pendedahan kepada risiko tukaran asing.

“Kerajaan akan terus membiayai perbelanjaan pembangunan menerusi pinjaman daripada pasaran domestik dan akan mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada gred pelaburan A- dan A3, mencerminkan pengiktirafan ke atas inisiatif pembaharuan fiskal dalam mengukuhkan penarafan kredit.

“Pada 2017 jumlah hasil telah meningkat 3.8 peratus kepada RM220.4 bilion disokong oleh hasil cukai yang lebih baik selaras peningkatan pematuhan cukai,” katanya.

Selain itu MOF menerangkan bahawa kerajaan akan mempelbagaikan sumber hasil dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum di mana peratusan kepada jumlah hasil berkurang dengan ketara daripada 41.3 peratus pada 2009 kepada 15.7 peratus pada 2017.

Menurutnya, hasil daripada pengurusan yang terurus kerajaan berjaya membendung pertumbuhan perbelanjaan di mana jumlah perbelanjaan meningkat kecil sebanyak 4.1 peratus kepada RM262.6 bilion.

Katanya, jumlah perbelanjaan sebagai peratusan kepada KDNK menunjukkan aliran penurunan daripada 20.5 peratus pada 2016 kepada 19.4 peratus pada 2017, mencerminkan usaha berterusan meningkatkan kecekapan perbelanjaan.

“38 peratus merangkumi sektor sosial daripada jumlah perbelanjaan kekal terutamanya dalam subsektor pendidikan, latihan dan kesihatan.

“Jika kita lihat sektor awam terus mengimbangi aktiviti sektor swasta dalam menjana pertumbuhan ekonomi perbelanjaan pembangunan, terutamanya projek infrastruktur.

“Program Transformasi Fiskal (FTP) bagi terus mengukuhkan kedudukan kewangan, program ini juga adalah bagi menyediakan ruang fiskal yang mencukupi untuk melaksanakan langkah kitaran balas bagi menangani impak negatif daripada cabaran global,” katanya.

Menurutnya, kerajaan terus komited melaksanakan langkah konsolidasi fiskal ke arah mencapai bajet hampir berimbang pada 2020.

“Ini terbukti dengan pengurangan defisit fiskal secara konsisten daripada 6.7 peratus berbanding KDNK pada 2009 kepada 3.0 peratus pada 2017," katanya.