26
Isn, Okt
0 ARTIKEL BARU

‘BARISAN CAHAYA’: Malaysia Dan Perayaan Deepavali

Bahasa Melayu
Typography

DEEPAVALI atau ‘pesta cahaya’ merupakan salah satu perayaan besar yang diraikan di seluruh dunia oleh semua penganut agama Hindu termasuk di Malaysia. Uniknya, sambutan Deepavali di negara ini tidak hanya terhad kepada kaum India dan Sikh yang beragama Hindu sahaja, namun turut sama diraikan oleh masyakat lain yang berbilang bangsa dan agama yang terdapat di sini. Perayaan ini disambut pada setiap hari ke-14 dalam bulan Aipasi (kalendar Tamil), yang jatuh antara bulan Oktober dan November setiap tahun mengikut Kalendar Gregorian.

Istilah Deepavali terhasil dari gabungan perkataan ‘Deepa’ yang membawa maksud cahaya dan ‘Gavali’ iaitu barisan. Dalam erti kata lain, Deepavali turut diertikan sebagai ‘Sebarisan Pelita’ yang juga merupakan simbolik kepada perayaan tersebut di mana ketika sambutan Deepavali, pelita di pasang secara berjajar dalam bilangan yang banyak di sekitar rumah. Menurut kepercayaan, cahaya dari pelita tersebut membawa perlambangan mengenai kecerahan yang mengatasi kegelapan, kebaikan yang mengatasi kejahatan, keadilan yang mengatasi kezaliman serta kebijaksanaan yang mengatasi kejahilan.

Mitos Deepavali

Terdapat beberapa mitos yang boleh dikaitkan dengan perayaan Deepavali antaranya kisah kembalinya Dewa Rama yang merupakan Raja Ayodhya ke negerinya (Ayodhya) setelah 14 tahun dibuang negeri bersama isterinya, Sita dan saudaranya, Lakshmana. Sebelum kembalinya Dewa Rama ke Ayodhya, telah berlaku satu peperangan antara Dewa Rama dengan Raja Syaitan Ravana yang mana menyaksikan Dewa Rama telah berjaya membunuh raja syaitan tersebut. Rentetan kejadian itu, seluruh rakyat menyalakan pelita bagi menerangi laluan perjalanan Dewa Rama dan keluarganya, iaitu sepanjang laluan bermula dari India Selatan sehingga ke negerinya di India Utara. Oleh sebab yang demikian, sehingga ke hari ini masyarakat India Selatan menyambut Deepavali sehari lebih awal dari India Utara. Bagi masyarakat India Utara, perayaan ini disambut pada hari terakhir Kalendar Vikram dan hari berikutnya merupakan tahun baru India Utara yang disebut sebagai Annakut.

Manakala mitos lain yang lebih sinonim kepada masyarakat India di Malaysia adalah berkaitan dengan kisah Dewa Krishna membunuh Narakasura, Raja Syaitan yang telah mencetuskan huru-hara serta gangguan kepada rakyat Dewa Krishna. Sebelum Narakasura mati, Raja Syaitan itu sempat membuat permintaan kepada ibunya, Satyabhama supaya seluruh rakyat menyambut kematiannya itu dengan perayaan yang penuh cahaya dan bewarna-warni. Nakasura membuat permintaan sedemikan sebagai tanda meraikan kemenangan ‘kebaikan yang mengalahkan kejahatan’, selain sebagai peringatan supaya mereka berbuat baik sesama manusia. Selain itu, ianya juga boleh dijadikan peringatan oleh seluruh manusia mengenai godaan hantu dan syaitan, selain menjauhkan sifat kekejaman antara satu sama lain. Oleh yang demikian, kematian Nakasura itu disambut secara besar-besaran di mana seluruh negeri berpesta sambil dilimpahi cahaya terang benderang dan terus dikekalkan sehingga ke hari ini.

Diwali Bagi Masyarakat Sikh

Deepavali, atau disebut sebagai ‘Diwali’ bagi masyarakat Sikh pula diraikan atas sebab yang berbeza. Menurut sejarah, perayaan ‘Diwali’ ini bermula apabila Guru Har Gobind dan 52 pengikut utamanya dibebaskan dari penjara sekitar tahun 1619. Rentetan pembebasan itu, masyarakat Sikh menyambut kepulangan Guru Har Gobind dan pengikutnya itu dengan menyalakan ‘Kuil Emas’ dalam suasana penuh kesyukuran dan penuh kegembiraan dan ianya berterusan sehingga ke hari ini.

Persiapan Sebelum Deepavali

Pada malam sebelum perayaan Deepavali, akan diadakan upacara memasang ‘Vilakku’, iaitu pelita tradisi yang diperbuat dari tanah liat dan upacara ini akan disertai oleh seluruh ahli keluarga. Upacara memasang ‘Vilakku’ ini adalah bertujuan untuk menyambut kedatangan Dewa Lakshmi, iaitu dewa kekayaan dan kemakmuran yang akan datang melawat ke rumah mereka pada malam tersebut. Namun pada masa kini, masyarakat tidak hanya memasang ‘Vilakku’ pada hari perayaan, malah akan ditambah dengan pelbagai jenis pelita atau lampu moden yang lain bagi tujuan memeriahkan lagi suasana perayaan.

Selain itu, turut dilakukan upacara menghias ‘Rangoli’ atau ‘Kolam’, iaitu upacara menyusun beras atau kelapa yang telah diwarnakan sebelum terbit matahari kepada pelbagai bentuk rekaan seperti bentuk bunga, burung merak atau pelbagai corak lain di hadapan pintu rumah sebagai hiasan. Ianya juga merupakan sebagai tanda selamat dan rahmat keatas setiap isi rumah agar dikurniakan kesejahteraan hidup. Ianya juga berhubungkait dengan penyembahan terhadap Dewa Lakshmi yang dipercayai akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan ‘Rangoli/ Kolam’ di pintu masuk rumah mereka.

Kaum wanita juga pada kebiasannya akan mengenakan inai bagi tujuan menghias diri sebelum sambutan peraayan tersebut.

Pagi Deepavali

Pada kebiasaannya, seluruh ahli keluarga akan bangun lebih awal iaitu sebelum terbitnya matahari. Seluruh ahli keluarga akan membersihkan diri, dan kebiasannya upacara mandi minyak bijan akan dilakukan seawal pagi sebagai simbolik penyucian diri dan semangat. Upacara mandi minyak bijan ini akan dilaksanakan oleh mereka yang lebih tua dalam keluarga seperti ibu atau nenek, yang mana mereka akan menyapukan minyak bijan tersebut ke atas kepala dan sebahagian badan ahli keluarganya.

Mandi minyak bijan ini dipercayai mempunyai kebaikan sama seperti mandi di Sungai Ganges, iaitu sungai suci bagi masyarakat Hindu yang dipercayai boleh membersihkan mereka dari segala sifat buruk dan sifat kejahatan. Selepas upacara mandi tersebut, mereka dimestikan memakai pakaian baru dan bersih di pagi Deepavali dan seterusnya upacara sembahyang sama ada di kuil-kuil atau di rumah akan diadakan. Pada kebiasaannya, mereka akan mengunjungi kuil-kuil dan menghadiahkan kalungan bunga kepada dewa-dewa mereka.

Deepavali juga merupakan masa bagi masyarakat Hindu untuk saling bermaafan dan berkunjungan antara satu sama lain. Apa yang lebih unik, kunjungan tidak hanya melibatkan antara masyarakat beragama Hindu sahaja pada masa kini, namun turut melibatkan rakan taulan berbilang kaum terutamanya di Malaysia. Malah, ada diantara masyarakat India di negara ini turut mengambil peluang menganjurkan rumah terbuka sempena perayaan Deepavali yang turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan tujuan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan tersebut.

Hidangan Deepavali

Manisan merupakan antara hidangan popular dan juga hidangan wajib pada setiap sambutan Deepavali. Ini kerana manisan merupakan ‘pembuka acara’ bagi masyarakat India dalam memulakan sesuatu majlis atau sambutan. Mengikut kepercayaan, manisan merupakan salah satu elemen positif yang mampu membawa kegembiraan, keseronokan serta kesejahteraan yang berpanjangan. Antara manisan tradisional yang terkenal adalah ‘Halwa’ dan ‘Laddoo’, dan masyarakat India berpendapat semakin manis manisan tersebut, semakin ia membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada si pemakannya.

Selain itu, terdapat juga beberapa hidangan tradisional lain yang berasaskan sayur-sayuran yang turut dihidangkan seperti ‘Aloogobi’, iaitu campuran kentang dan bunga kobis, ‘Paneer’, iaitu campuran yogurt bersama masala dan kari dal,

Tidak dilupakan, beberapa hidangan lain serta kuih-muih tradisional masyarakat India seperti Muruku, Adivasam, Keseri, Payasam, Neiurundai dan Atherasam turut dihidangkan ketika sambutan perayaan Deepavali ini. Apa yang lebih menarik, hidangan-hidangan ini turut digemari oleh masyarakat termasuk pelancong asing.

Pakaian Tradisional

Dalam sambutan perayaan ini, kaum wanita akan mengenakan ‘Saree’, iaitu sehelai kain yang tidak dijahit, dalam lingkungan 4 ke 9 meter panjang yang di lilit sekeliling pinggang, dengan satu hujung dilepaskan ke bahu, mendedahkan sebahagian pinggang. Pada bahagian atas badan pula, sehelai baju kecil (blouse) yang dinamakan ‘Choli’ atau ‘Ravika’ dikenakan. Baju kecil ini mempunyai lengan pendek, berleher rendah dan ianya adalah direka bersesuaian dengan cuaca Asia Selatan yang agak panas dan lembab.

Manakala bagi kaum lelaki pula, mereka akan mengenakan ‘Dhoti’, yang terdiri daripada kain putih berukuran empat segi panjang yang dililit di bahagian pinggang dan diikat pada celah peha serta sehelai kain yang diletakkan di bahu. Sesetengah ‘Dhoti’ dihiasi dengan manik supaya kelihatan menarik, dan ada diantaranya yang bewarna kuning pudar atau kuning susu. ‘Dhoti’ ini adakalanya digayakan tanpa baju atau bersama kemeja putih, bergantung kepada minat dan kesesuaian si pemakai.

Upacara Sembahyang

Sama seperti sambutan perayaan yang lain, sambutan Deepavali turut melibatkan upacara sembahyang di kuil-kuil Hindu. Para penganut akan melakukan sembah, berdoa serta mengalungkan Patung Dewa Hindu dengan kalungan bunga dengan niat untuk memperoleh kesejahteraan diri dan keluarga serta memperingati ahli keluarga yang telah tiada. Selepas upacara sembahyang, mereka akan dihidangkan dengan pelbagai manisan atau ‘Prasad’.

SELAMAT MENYAMBUT HARI DEEPAVALI!

 

 

 

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.