26
Rab, Feb
5 ARTIKEL BARU

Kami Hanya Mahu Jenazah Mereka Dibawa Balik

MH17
Typography
Unknown "Kami hanya mahu jenazah atau apa sahaja yang tinggal milik mereka di bawa pulang untuk disemadikan dengan sempurna mengikut agama Islam. "Biarlah ada kuburnya, cukuplah jika kami hanya mampu memandang kubur mereka kerana ianya memberi nilai sentimental buat kami sekeluarga,” demikian harapan yang diluahkan oleh Asfarina Kartika, sepupu kepada Thambi Jie salah seorang penumpang pesawat MH17 yang terhempas selepas ditembak peluru berpandu di timur Ukraine, Khamis lalu. Thambi bersama isterinya Ariza Ghazalee dan empat anak, Mohd. Afif, Mohd. Afzal, Marsha Azmeena dan Mohd. Afruz dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas tiga tahun berkhidmat dengan Shell di Kazakhstan. Asfarina, 28, tahun menjadi wakil keluarga Thambi untuk berada di hotel penempatan keluarga waris di Putrajaya bagi mendapatkan maklumat-maklumat terkini berhubung insiden tersebut. Thambi dan Ariza berasal dari Sarawak. Bagaimanapun katanya, setakat ini, pihak kerajaan dan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) memaklumkan kepada waris bahawa mayat-mayat mangsa masih belum dapat dikeluarkan biarpun pasukan khas telah ke Kiev, Ukraine selain pelbagai usaha dijalankan menerusi hubungan diplomatik antara negara. Tambah beliau, pihak keluarga Thambi dan Ariza sangat terkejut apabila mengetahui pasangan tersebut bersama anak-anak mereka menaiki pesawat MH17. “Kami cuma tahu mereka akan pulang ke Kuala Lumpur melalui Amsterdam tetapi tidak tahu mereka menaiki syarikat penerbangan yang mana. "Jadi apabila terdengar pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah terhempas, kami sangat terkejut dan panik. Kami menghubungi banyak pihak untuk mengetahui sama ada mereka terlibat atau tidak dan diberitahu bahawa keluarga Thambi merupakan salah seorang mangsa. "Memang terkejut. Saya tiada perkataan untuk menggambarkan keadaan yang berlaku ketika itu dan sehingga ke hari ini, saya masih belum ada kekuatan untuk melihat gambar-gambar insiden berkenaan,” katanya sayu. Hasrat untuk memastikan mangsa disemadikan dengan sempurna di Malaysia bukanlah disuarakan oleh keluarga Thambi dan Azriza sahaja sebaliknya, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang berpeluang berjumpa waris mangsa MH17 hari ini berkata, permintaan tersebut dibuat oleh semua keluarga. Katanya, itu sahaja permintaan waris kepada pihak kerajaan. “Saya sempat jumpa tiga keluarga hari ini dan kesemua mereka menyatakan satu permintaan yang sama iaitu bawa pulang mayat atau apa sahaja yang tinggal daripada mangsa untuk disemadikan. Malah keluarga juga mahu mengatur upacara keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing. Setakat ini, itu sahaja permintaan mereka,” katanya. Daripada 298 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat MH17, 44 orang adalah warganegara Malaysia.