24
Sab, Ogs
0 ARTIKEL BARU

Najib, PM Belanda Bertemu Bincang Tragedi MH17

MH17
Typography
IMG_609415166785557Amsterdam (Belanda) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte di The Hague berhubung nahas MH17 apabila beliau tiba Khamis ini untuk melakukan lawatan kerja dua hari ke Netherlands. Najib dijadual tiba pada 8 pagi (2 petang di Malaysia) bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin. Duta Besar Malaysia di Netherlands, Datuk Dr Fauziah Mohamad Taib berkata tujuan utama lawatan Najib adalah untuk mendapatkan maklumat terkini tentang urusan pengecaman mangsa tragedi itu serta penghantaran pulang mayat mereka ke tanah air. Beliau memberitahu wartawan Malaysia di sini bahawa Najib akan mengadakan perbincangan dengan Rutte mulai 11.15 pagi (5.15 petang di Malaysia), sebelum berlepas ke Hilversum, tempat di mana mayat mangsa melalui proses pengecaman dan forensik. Pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai. Pesawat Boeing 777-200ER itu, yang membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal, dipercayai ditembak jatuh, tetapi hingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. Mayat mangsa diterbangkan dari Ukraine ke Netherlands. Rakyat Netherlands, sebanyak 193 orang, merupakan jumlah penumpang paling ramai dalam penerbangan itu. Fauziah berkata Perdana Menteri juga akan menjadi hos majlis makan malam pada Khamis, sebelum mengadakan sidang media pada 8 pagi (2 petang di Malaysia) pada hari berikutnya. Menurut beliau, ini adalah lawatan kerja pertama Najib ke Netherlands dan pemimpin Malaysia sebelum ini yang pernah melakukan lawatan ke Netherlands ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 2005, dan Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1986. Fauziah berkata Malaysia adalah rakan perdagangan dan pelaburan terbesar Netherlands dalam kalangan negara Asia Tenggara. -SuaraTV