14
Sab, Dis
0 ARTIKEL BARU

Rakyat Selangor Jadi Mangsa Kerakusan Kuasa Pakatan Rakyat - Muhyiddin

Krisis MB Selangor
Typography
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN BENTONG  -- Kerakusan kuasa Pakatan Rakyat di Selangor menyebabkan negeri itu terumbang-ambing sehingga rakyat menjadi mangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pakatan itu tidak harus lari daripada tanggungjawab menyelesaikan krisis politik yang berlaku dengan cara baik kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Selangor.

"Ini adalah masalah mereka yang kini menjadi krisis dan membebankan (rakyat). Bagi kita, soal rakyat lebih diutamakan. Saya tidak fikir rakyat akan rasa seronok (jika ia berterusan).

"Seharusnya ada tindakan (penyelesaian) segera, kita tidak mahu masuk campur urusan dalaman. Mereka patut tengok apa yang rakyat akan hadapi. Jangan jadikan krisis itu beban kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bentong di sini Ahad.

Muhyiddin mengulas kemelut politik di Selangor yang kian meruncing sehingga Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk memecat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti kerana didakwa mengingkari beberapa keputusan parti.

Ditanya mengenai kemungkinan pilihan raya negeri Selangor diadakan susulan krisis itu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, berkata situasi di negeri itu akan dipantau sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

"Kita mesti harus bersedia. Bukan sebab kita menangguk di air keruh...(tetapi) susah nak ramal, dalam keadaan begini yang tak menentu.

"Sebagai pihak (pembangkang) di Selangor, kita sentiasa buat apa-apa persiapan yang perlu, baik untuk menghadapi pilihan raya kecil atau pilihan raya umum. Dalam keadaan sebegini kita belum pasti," katanya.

Muhyiddin berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai langkah menyelesaikan kemelut di Selangor yang melibatkan pihak BN, termasuk dari pihak Abdul Khalid.

Melahirkan rasa dukacita atas krisis politik itu, Muhyiddin meminta rakyat Selangor supaya mengambil iktibar atas apa yang berlaku yang antara lain boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri.

Ditanya sama ada krisis perebutan kuasa di Selangor akan menjejaskan perjanjian antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, Muhyiddin berkata projek berkaitan air masih berjalan dan perlu melalui beberapa fasa lagi sebelum ia disiapkan.

"Ada beberapa fasa lagi kerana ini projek besar dan mengambil masa. Banyak lagi kerjasama yang diperlukan melibatkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk menentukan ia siap dalam masa (yang ditetapkan).

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno menyarankan pewujudan pelan tindakan parti di setiap negeri untuk mencetus perubahan dan meningkatkan penerimaan dan sokongan di peringkat akar umbi.

"Umno tidak boleh bertindak seperti biasa kerana kita sentiasa cabaran getir. Apa yang penting, bila siap (pelan tindakan), bagaimana ia hendak dilaksanakan supaya ada keadaan yang boleh mencetuskan 'wow factor" baharu dan dilihat pengundi inilah apa yang mereka mahu.

"Umno perlu menerajui perubahan dan tidak dilihat sama dari dulu hingga sekarang. Jika tiada perubahan atau masih ditakuk lama, sokongan tidak akan hadir mahupun bertambah," katanya.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, dalam ucapannya berkata Umno negeri merancang untuk mewujudkan pelan tindakan bagi mengenal pasti persepsi masyarakat di akar umbi dan meneliti kaedah baharu yang sesuai untuk terus meraih sokongan pengundi.

-- BERNAMA