06
Jum, Dis
0 ARTIKEL BARU

Tindakan Khalid pecat Exco PKR & DAP Diperkenan Sultan

Krisis MB Selangor
Typography

SHAH ALAM - Pemecatan lima anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada DAP dan PKR dibuat secara sah dan mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa semalam, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata baginda berkenan untuk membatalkan pelantikan lima anggota Exco terbabit secara bertulis atas nasihat beliau sebagai Menteri Besar.

"Saya telah menulis surat kepada baginda pada pukul 2 petang semalam selepas terima berita lima Exco terbabit telah keluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan Menteri Besar dan hanya menghadiri mesyuarat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) bagi memantau perjalanan kerajaan negeri serta hanya menurut kehendak parti yang mereka sokong.

"Baginda kemudian telah membalas secara bertulis dua jam kemudian untuk membenarkan saya mengumumkan mengenai pemecatan mereka," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini Rabu.

Sebelum ini, Abdul Khalid dipetik sebagai berkata beliau memecat enam anggota Exco daripada parti DAP dan PKR tetapi hari ini beliau mengesahkan surat pemecatan kepada seorang anggota Exco daripada PKR Rodziah Ismail masih belum dihantar kerana Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga itu dikatakan berada di luar negara.

Abdul Khalid turut menunjukkan surat balasan yang diterima beliau daripada Sultan Selangor kepada media yang memaklumkan baginda tiada halangan untuk beliau menamatkan khidmat Datuk Teng Chang Khim, V.Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah daripada DAP dan Elizabeth Wong Keat Ping serta Dr Daroyah Alwi daripada PKR.

Menteri Besar itu berkata tindakan anggota-anggota Exco terbabit mengeluarkan kenyataan untuk tidak bekerjasama dengannya turut bercanggah dengan 10 Akujanji dan Sumpah Kesetiaan yang dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Ditanya mengenai status jawatan Rodziah, beliau berkata sebarang keputusan mengenainya akan diputuskan apabila Rodziah pulang ke tanah air.

"Beliau berada di luar negara dan sebab itu kita tunggu beliau kembali. Jika perlu (beliau) bekerjasama dengan anggota exco yang lain (PAS) dia akan teruskan tetapi kalau tidak dia juga akan diberi surat penamatan (khidmat sebagai anggota exco).

"Hanya lima nama exco (kecuali Rodziah) yang diberikan kepada Sultan.

"Beliau (Rodziah) sudah jumpa saya sebelum beliau ke luar negara." katanya dan enggan mengulas lanjut mengenai perbincangan mereka.

-- BERNAMA