09
Ahd, Ogs
1 ARTIKEL BARU

MB Selangor: Wan Azizah Bakal Ganti Khalid Ibrahim?

Krisis MB Selangor
Typography
mole-Wan-Azizah-Khalid-Ibrahim-SELANGOR Khabar angin mengenai pertukaran Menteri Besar Selangor bukan sahaja bertiup sekian lama, malahan semakin kencang. Keadaan itu semakin kelihatan terutamanya apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima semakin banyak kritikan kebelakangan ini. Sumber Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberitahu China Press bahawa pemilihan bahagian parti itu akan menutup tirai pada 10 Ogos dan ia akan diikuti dengan mesyuarat Pakatan Rakyat. Difahamkan antara agenda dalam mesyuarat melibatkan pemimpin tertinggi pembangkang tersebut ialah menukarkan Menteri Besar Selangor. Namun sumber itu tidak menafikan kemungkinan berlaku perubahan terutamanya kerana tarikh mesyuarat mungkin dipengaruhi oleh tahap kesihatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara. Sumber turut memberitahu, memandangkan Abdul Khalid enggan menyerahkan jawatan kepada Azmin Ali maka Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. Undang-undang negeri juga dilaporkan tidak menghalang wanita untuk menjadi Menteri Besar Selangor. "Pas juga berniat terhadap Menteri Besar Selangor. Jawatan Timbalan Menteri Besar mungkin diwujudkan untuk Pas bagi mendapat sokongan mereka," kata sumber. Sebanyak dua suara sudah kedengaran dalam PKR yakni mereka yang mempertahankan Abdul Khalid dan golongan yang mahu menukar Menteri Besar Selangor. Majoriti penyokong Abdul Khalid melibatkan barisan Exco kerajaan negeri sedia ada selain ahli-ahli PKR wanita dari Selangor. Dalam pada itu, DAP setakat ini belum berbincang mengenai usaha atau usul untuk menukarkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. "DAP dan Pas sedang menilai keadaan semasa, mereka tidak mempunyai niat sekuat PKR untuk menukarkan Menteri Besar Selangor," katanya.