09
Ahd, Ogs
1 ARTIKEL BARU

Isu MB Selangor: Faekah Persoal Kewibawaan Shamsul Iskandar

Krisis MB Selangor
Typography
20140701_124224 KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Husin membidas Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin yang meminta Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan disifatkan sebagai melangkaui arahan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Faekah yang kini Ketua Pegawai Ekskutif Menteri Besar berkata, Anwar meminta pemimpin parti berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan jawatan Menteri Besar. Anwar mengeluarkan arahan itu sebaik Shamsul mendakwa wujudnya kesepakatan Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar. “Selain singgungan dibuat Ketua Umum sebaik dakwaan itu keluar, Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad membuat kenyataan balas kepada Shamsul dengan kiasan PAS tidak pernah menyerahkan kepada pemimpin lain dalam Pakatan membuat keputusan bagi pihak parti itu,” kata Faekah dalam satu kenyataan media. Katanya, jika hujah Shamsul bahawa Abdul Khalid harus mengambil tanggungjawab moral melepaskan jawatan, beliau mempersoalkan pula halnya dengan Dr Daroyah Alwi. “Bukankah beliau (Dr Daroyah) kalah pertandingan Ketua Cabang Kapar? Adakah Dr Daroyah perlu melepaskan jawatan Exco Kerajaan Selangor hanya disebabkan kalah dalam pertandingan Ketua Cabang?,” soal Faekah. Faekah berkata, Shamsul sebagai peguam sepatutnya sedia maklum legitimasi diperlukan untuk menjawat jawatan Menteri Besar. “Bagaimana pula halnya dengan Ketua Umum dan Presiden PKR sendiri yang tidak mempunyai apa-apa jawatan di peringkat cabang? “Wajarkah kredibiliti mereka untuk memimpin parti dan menjawat jawatan sebagai Ketua Pembangkang dipertikaikan hanya semata-mata tidak berjawatan di cabang,” katanya. Faekah juga menasihatkan supaya Shamsul memperbaiki prestasinya selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Felda di Selangor. “Laporan kerja tidak pernah diterima pentadbir negeri, wajarkah beliau mempersoal kredibiliti Menteri Besar yang terbukti keupayaannya di mata rakyat? Beliau harus jawab,” katanya.