23
Sab, Mac
0 ARTIKEL BARU

MB Selangor: Berapa Lama Lagi Khalid Ibrahim Mampu Bertahan?

Krisis MB Selangor
Typography
khalid anwar new Baru-baru ini Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa jawatan Menteri Besar Selangor bukan hak milik peribadi mana-mana individu sebaliknya ia ditentukan oleh keputusan bersama PKR dan sekutunya dalam PR dari DAP dan PAS. Kenyataan terbuka yang cukup sinis dan amat memedihkan halwa telinga itu jelas sekali ditujukan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim yang kini sedang bergelut bermati-matian menepis pelbagai asakan dalam usahanya untuk mengekalkan kedudukan sebagai MB Selangor. Menariknya siaran kenyataan itu dikeluarkan oleh Anwar selang beberapa hari selepas bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam berjaya mengalahkan Khalid dalam pemilihan semula jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor yang diselubungi kontroversi lampu terpadam (blackout) semasa proses pengiraan undi. Para penyokong Khalid melihat kenyataan sinis oleh Anwar itu bukannya membantu meredakan kekalutan politik dalaman PKR dan PR yang kian tunggang terbalik di negeri ini sebaliknya lebih kepada sengaja mengambil kesempatan menambah tekanan supaya Khalid segera melepaskan jawatan MB yang disandangnya. Jelas sekali Anwar sudah memuktamadkan keputusannya untuk menggantikan Khalid meskipun sebelum PRU-13 dulu dia jugalah yang mula-mula bersungguh benar mengisytiharkan Khalid sebagai MB yang terbaik dalam sejarah Selangor. Kini yang terbaik mahu diterbalikkan pula. Tapi Anwar tidak keseorangan dalam usaha menterbalikkan Khalid dari terus menikmati keempukan kerusi MB Selangor. Sebahagian rakan sekutunya dari DAP dan PAS liberal juga sudah turut sama bersuara dan masing-masing kian berani mempertikaikan kewibawaan Khalid untuk terus menerajui negeri ini. Mereka sudah sepakat Khalid mesti diturunkan secepat mungkin kerana lebih lama ADUN Pelabuhan Klang dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berada di singgah sana dikhuatiri lebih banyak dasar bersama PR dikhianatinya. Pun demikian, sehingga kini nampaknya Khalid masih enggan mengalah apabila dalam kenyataan terbarunya menegaskan soal kalah menang dalam perebutan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR apatah lagi Ketua Cabang bukannya syarat yang mewajibkan pengundurannya sebagai MB. Malah Khalid turut mengikrarkan untuk kekal sebagai MB sehinggalah pilihan raya akan datang. Nampak seperti kental pendiriannya dan tak tergugat dek asakan demi asakan dalaman. Sedikit sebanyak kenyataan itu melegakan ramai penyokongnya yang masih percaya tiada yang lebih baik untuk menggantikan Khalid. Persoalannya sampai bila Khalid mampu bertahan dan berapa lama Khalid dapat menepis asakan yang bertubi-tubi dari segenap penjuru? Dapatkah penyokongnya terus bersabar menahan amarah melihat idola mereka teruk diasak oleh rakan pimpinan dalam PKR serta rakan sepakatan dalam PR dari DAP dan PAS? Jawapan kepada persoalan itu hanya masa yang akan menentukan. Namun dilihat pada senario terkini kita boleh menjangkakan harapan Khalid untuk kekal sebagai MB sehingga penghujung penggal hampir pasti akan tinggal anggan-angan sahaja.