20
Ahd, Sep
0 ARTIKEL BARU

Adun PAS Belot Diberi 24 Jam Untuk Tarik Balik Pendirian

Krisis MB Selangor
Typography
438446aa54290f60d92f6ae808ddca51 PAS Selangor memberikan tempoh 24 jam kepada dua wakil rakyatnya yang menyatakan sokongan terbuka kepada Datuk Seri Wan Azizah Ismail untuk meminta maaf dan menarik balik pendirian itu. Tuntutan itu dibuat ekoran tindakan itu dianggap membelakangi parti yang belum membuat keputusan sempena menunggu mesyuarat jawatankuasa pusatnya pada Ahad ini. "Tindakan dua ADUN (anggota Dewan Undangan Negeri) PAS di Selangor yang membelakangi pendirian parti amatlah serius dan kita akan bertindak. “PAS Selangor memberi tempoh 24 jam untuk menarik balik pendirian dan tindakan yang dibuat atau menghadapi konsekuensi tindakan,” kata setiausaha PAS negeri Mohd Khairuddin Othman (kanan). Dua ADUN PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) hari ini tampil menyatakan sokongan terhadap Azizah. Saari berkata, mereka berbuat demikian kerana “dasar PAS yang bersama-sama Pakatan Rakyat" dan beliau juga yakin mesyuarat ahli penting PAS minggu akan akan memutuskan terus bersama PKR dan DAP. Lihat kembali baiah Dalam kenyataannya petang ini, Khairuddin berkata, tindakan Saari dan Hasnul itu tidak menurut tatacara dan arahan parti, gopoh dan “terlalu taksub”. “PAS mempunyai organisasi negeri, kepimpinan pusat dan Majlis Syura Ulama yang harus kita patuh. Mengapa terlalu gopoh dan terlalu taksub sehingga parti di belakangkan. “Bukankah PAS pusat akan bermesyuarat pada 17 haribulan ini?" kata Khairuddin sambil meminta dua ADUN itu sabar menunggu mesyuarat penting itu. Beliau justeru “menasihatkan” dua ADUN itu menarik balik pendirian mereka atau PAS Selangor akan mulakan tindakan disiplin. Ini katanya termasuk “melihat kepada kandungan baiah yang telah dilafazkan sewaktu menjadi calon”. Pusat mahu laporan Sementara itu, PAS Pusat telah meminta PAS Selangor memberi laporan berhubung isu dua ADUN PAS negeri itu. Harakahdaily memetik Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebagai berkata beliau telah menghubungi Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad petang ini dan meminta laporan penuh berhubung perkara itu. "Saya telah menghubungi pesuruhjaya PAS Selangor supaya memberi laporan tentang dua orang ini supaya kita dapat gambaran sebenar," katanya dalam laporan Harakahdaily. Mustafa berkata PAS akan menyiasat perkara itu dan akan mendapatkan gambaran sebenar. Menurut Harakahdaily, sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai menteri besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat. Menurutnya, pandangan serupa dinyatakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat. Malah, lapor Harakahdaily Majlis Syura Ulama PAS juga menetapkan pendirian agar Khalid dikekalkan jawatan itu sekiranya beliau tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan berhubung pecah amanah.
Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.