11
Rab, Dis
0 ARTIKEL BARU

Dewan Ulamak PAS Selangor Kutuk Dua ADUN Sokong Wan Azizah

Krisis MB Selangor
Typography
dups SHAH ALAM, 31 Ogos – Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Selangor ke-26 hari ini sebulat suara meluluskan usul mengutuk dan mengecam dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar baharu. Menurut catatan Facebook terbaharu Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, usul itu akan diserah kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat untuk diambil tindakan berdasarkan Fasal 82 Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011. Sebelum ini, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin dilaporkan menandatangani Akuan Bersumpah menyokong pencalonan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tanpa persetujuan dan pengetahuan PAS. Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman, yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya menjangka banyak lagi aduan dan usul akan dibuat serta dihantar kepada Jawatankuasa Disiplin parti berhubung tindakan dua ADUN berkenaan. “Kita tahu ada lagi usaha untuk memancing ADUN kita di Selangor. Kita ada maklumat lengkap siapa terlibat dan kita akan dedahkan nama pelobi ini jika permainan ini tidak dihentikan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.