06
Jum, Dis
0 ARTIKEL BARU

MB Selangor: Wan Azizah Tetap Calon Tunggal

Krisis MB Selangor
Typography
KEADILAN menegaskan bahawa Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai calon tunggal jawatan Menteri Besar Selangor. Dalam satu kenyataan media Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan KEADILAN berpegang teguh kepada keputusan parti sebelum ini termasuk mesyuarat Biro Politik minggu lalu. Perkara ini juga jelasnya, sebagai menjawab beberapa dakwaan yang timbul akibat laporan-laporan media berkenaan isu perlantikan Menteri Besar Selangor yang baru. “Oleh yang demikian, calon KEADILAN bagi jawatan Menteri Besar Selangor yang baru tidak berubah iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN merangkap Ahli Dewan Negeri Kajang. “Sebarang berita kononnya Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju secara lisan dengan kompromi dan pelbagai berita lain adalah tidak tepat,”kenyataan itu dipetik. Tambah Saifuddin lagi, keputusan dan pendirian KEADILAN adalah atas kepercayaan mempertahankan undang-undang tubuh Selangor dan sistem raja berpelembagaan. “Makanya sebarang berita tidak wajar disebarkan untuk memberi gambaran bahawa KEADILAN berganjak dari keputusan mempertahankan undang-undang tubuh Selangor dan sistem raja berpelembagaan ini,”jelasnya.